Wartawan Bernama, Amirul Mohd Sajadi sedang mengikuti program selama 10 bulan di Beijing anjuran China International Press Communications Centre.

BEIJING (Bernama) — Semenjak penulis berada di Beijing bermula Febuari 2019, saya jarang menyimpan wang tunai di dalam dompet dan kadang kala sampai terlupa untuk membawanya (dompet) bersama.

Walaupun tiada tunai di dalam dompet, ia tidak menghalang saya daripada berbelanja kerana di China, apa yang paling penting ialah telefon bimbit dan aplikasi WeChat Pay serta Alipay.

Masyarakat tempatan di sini tidak kira usia mengaplikasikan transaksi pembayaran tanpa tunai dengan majoriti transaksi menggunakan kaedah pengimbasan Kod Quick Response (QR) melalui telefon pintar masing-masing.

Malahan lebih memeranjatkan, pengemis di tembok besar ini juga kini tidak perlu menadah tangan seperti kelaziman tetapi mereka hanya perlu mempamerkan kod QR kepada orang ramai dengan harapan ada yang prihatin dan mengimbas kod itu untuk memberi sumbangan.

Untuk pengetahuan umum, aplikasi ini tidak terhad hanya kepada pusat membeli belah dan pembelian tiket pengangkutan awam, bahkan ia juga diguna pakai secara menyeluruh termasuk sekiranya anda ingin membeli gula-gula yang hanya berharga RMB 0.50 di kedai runcit.


Menurut Bank Rakyat China (PBOC), pada 2018, China merekodkan transaksi pembayaran mudah alih sebanyak AS$ 41.51 trillion (RM 174.24 trillion) melalui aplikasi seperti Alipay dan WeChat Pay. Dan jumlah itu melonjak 28 kali ganda berbanding lima tahun lepas yang hanya mencatatkan AS$ 1. 67 billion.

Kedua-dua syarikat berkenaan menguasai kira-kira 92 peratus daripada pasaran pembayaran mudah alih domestik dengan masing-masing mempunyai lebih 1 billion pengguna aktif di seluruh dunia.

Bagi pekerja swasta, Wang Meihe,27, atau yang lebih mesra disapa sebagai Pinky berkata kali terakhir dia menggunakan wang tunai untuk membeli barangan adalah pada tahun 2016.

Sebenarnya sudah lama saya tidak menggunakan wang kertas, kerana bagi saya wang kertas agak susah untuk kawal perbelanjaan.

“…tetapi dengan adanya aplikasi seperti Alipay dan Wechat Pay, apa yang saya belanja akan direkodkan ia secara tidak langsung memudahkan saya menguruskan kewangan saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Penulis yang merasai sendiri menggunakan aplikasi ini berpendapat ia sememangnya mudah kerana pengguna boleh mengawal perbelanjaan bulanan dan setiap transaksi yang dilakukan akan direkod serta boleh dipantau dari semasa ke semasa.

Maka tidak hairanlah pada Disember 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 di KL Sentral, menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan penggantian wang kertas tunai atau ke arah tanpa tunai bagi menangani rasuah.

Tidak dinafikan Malaysia juga tidak ketinggalan dalam teknologi kewangan ini.

Dengan wujudnya pelbagai perkhidmatan menggunakan platform digital seperti panggilan elektronik (e-hailing) dan perniagaan e-dagang ia merancakkan lagi penggunaan pembayaran elektronik tanpa sentuh dan perkhidmatan perbankan online.

Menurut perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), sejumlah 833.9 juta transaksi telah dibuat melalui perbankan Internet dari Januari sehingga Disember 2018, berbanding 741.9 juta bagi keseluruhan 2017 dan 588.2 juta pada 2016.

Tambahan pula, BNM turut memperkenalkan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2011-2020 yang menyasarkan untuk meningkatkan jumlah transaksi e-pembayaran perkapita daripada 44 transaksi kepada 200 transaksi dan mengurangkan penggunaan cek sebanyak lebih separuh daripada 207 juta hingga 100 juta setahun.

Ia sesuatu yang boleh di banggakan kerana kita akan melihat sebuah masyarakat yang bebas menggunakan tunai akan dilahirkan di Malaysia tidak lama lagi.

Namun, persoalannya kini, adakah rakyat Malaysia bersedia melalui pembaharuan ini?

Mungkin generasi Y dan Z tiada masalah dalam mengendalikan teknologi, tetapi bagaimana pula mereka yang lebih berusia dan tinggal di luar bandar?

Apa yang pasti ramai lebih yakin wujudnya sesuatu yang fizikal dan boleh dipegang seperti wang ringgit, perspektif seperti ini harus dikikis dan pendedahan berkenaan perubahan ekosistem semasa ini perlu menjadi topik utama pemain industri seperti bank dan pihak penyedia perkhidmatan pembayaran atas talian.

Di samping itu, untuk mejayakan misi ini, syarikat telekomunikasi dan teknologi yang merupakan tonggak utama harus menambah baik capaian internet di sesuatu kawasan terutamanya di luar bandar.

Ini merupakan elemen penting dalam memastikan urusan transaksi pembayaran tanpa tunai dapat dilakukan dengan lancar.

Jika sering bermasalah seperti terminal pembayaran sentiasa tiada dalam perkhidmatan, ia membuatkan orang ramai muak hingga mereka cuba mengelak menggunakan teknologi baru dalam urusan jual beli harian.

Untuk memulakan sesuatu pembaharuan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi pelaksaaannya harus dilakukan secara berperingkat ia sejajar dengan mencapai matlamat Malaysia Maju 2025 atau Wawasan 2025 yang sekaligus melahirkan masyarakat minda kelas pertama.

Langkah ini juga diharap dapat mendidik masyarakat untuk berbelanja secara berhemat dan secara tidak langsung dapat mengawal perbelanjaan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here