Laporan eksklusif oleh Nik Nurfaqih Nik Wil dan Zaphne Philip

KUCHING, 27 Okt — Sarawak walaupun merupakan penyumbang ketiga terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia pada 2017 dan terus menunjukkan corak positif dalam pertumbuhan ekonominya, tetapi jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar masih lagi menjadi isu, menurut pakar ekonomi.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Dayang Affizzah Awang Marikan berkata ini mungkin disebabkan peluang pengagihan kerja yang terhad disebabkan faktor geografi dan infrastruktur, yang perlu ditingkatkan.

“Walaupun pelbagai usaha berterusan oleh kerajaan dan institusi swasta untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi luar bandar, namun perbezaan pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar masil lagi menjadi isu kritikal yang perlu dibahaskan sehingga sekarang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata secara umumnya, membandingkan pendapatan penengah (median) isi rumah di peringkat kebangsaan, Sarawak dilihat masih lagi ketinggalan bagi semua kategori pendapatan T20, M40 dan B40.

Beliau berkata tahap pendapatan negara bagi T20 adalah 30 peratus lebih tinggi dalam kumpulan yang sama di Sarawak manakala kategori B40 memperoleh RM3,000 di peringkat nasional berbanding RM2,275 di Sarawak.

“Kesimpulannya, kadar pendapatan isi rumah Sarawak tidak seiring dengan pembangunan Malaysia secara amnya. Ini adalah cabaran bagi Sarawak untuk menyamakan dan mengimbangi prestasi ekonomi dengan peringkat kebangsaan.

“Secara statistik ia menunjukkan kemiskinan mutlak hampir pupus tetapi kemiskinan relatif jelas dilihat. Dengan kelembapan ekonomi semasa, pembangunan ekonomi secara umumnya tidak sepenuhnya diterima kerana pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dan kuasa beli yang rendah,” katanya.

Pada 1976, Dayang Affizzah berkata 56.5 peratus penduduk Sarawak dikategorikan dalam kemiskinan, bagaimanapun menguruskan isu itu dengan baik, Sarawak dapat mengurangkan kepada 37 peratus pada tahun 1984, 29 peratus (1987) dan kurang daripada 6 peratus (2016).

Angka ini, beliau berkata terutamanya disumbangkan oleh faktor kemiskinan luar bandar yang tinggi.

Merujuk statistik 2016, beliau berkata kemiskinan luar bandar Sarawak dilaporkan 1.1 peratus berbanding kawasan bandar hanya 0.3 peratus.

“Isu utama kemiskinan di luar bandar boleh dilihat menerusi kekurangan pendidikan yang sempurna, akses kesihatan, pembangunan infrastruktur, kepelbagaian ekonomi, penghijrahan golongan muda ke bandar dan kekurangan teknologi pertanian moden mengakibatkan penurunan pengeluaran dan produktiviti,” katanya.

Dayang Affizzah berkata memandangkan Sarawak akan beralih menjadi negeri berpendapatan tinggi dalam masa terdekat, negeri ini memerlukan pembangunan yang lebih seimbang dengan penekanan di kawasan luar bandar.

Sementara itu bercakap kepada Bernama, Peggy Mina, 67, yang menetap di Rumah Panjang, di perkampungan Annah Rais, Puncak Borneo, kira-kira sejam perjalanan dari Kuching, berkata kebanyakan penghuni rumah panjang itu berhijrah ke bandar untuk mencari pendapatan yang lebih baik.

“Kebanyakan yang menetap di sini, melakukan kerja-kerja kampung seperti bertani, sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan dan menyimpan sedikit simpanan. Setiap bulan perbelanjaan bagi sebuah keluarga sekitar RM500, memandangkan kami masak di rumah,” kata Peggy, yang pernah bekerja di Arab Saudi sebagai jururawat.

Bagi suri rumah, Crisdazender Ganchi, 31, dari Kota Samarahan menyifatkan pendapatan isi rumah sekitar RM3,000 hingga RM4,000 yang tinggal di pinggir bandar hanya setakat ‘cukup-cukup makan sahaja”.

“Perbelanjaan untuk barang dapur sahaja setiap bulan memerlukan RM500, susu dan lampin anak RM300, belanja anak sekolah dan kos pengangkutannya sekitar RM200 secara kasar. Tolak hutang rumah, kereta dan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), duit yang ada hanya tinggal sedikit,” katanya yang hanya bergantung kepada pendapatan suami.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here