SEPANG, 5 Nov — Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sedang menjalani transformasi pendigitalan media untuk platform pengiklanan lapangan terbang mereka dengan jumlah pelaburan sebanyak RM35 juta.

Ketua Pegawai Operasi VGI Airports Jonathan Goldsmid berkata transformasi di kedua-dua terminal itu dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.

VGI airports ialah konsesi pengiklanan untuk terminal.

“Walaupun projek ini hanya dilaksanakan dalam tempoh kurang dari setahun yang lepas, kami menyaksikan pertumbuhan ketara bukan sahaja dari segi bilangan jenama yang mahu diiklankan di KLIA dan klia2, tetapi juga jenis jenama yang mahu membina kehadiran pengiklanan jangka panjang,” katanya pada majlis pelancaran Digital Arrival Spectaculars VGI Airport di KLIA, di sini hari ini.

Pada majlis itu, VGI Airports melancarkan empat skrin LED digital (format besar) selebar kira-kira 650 kaki persegi, yang diletakkan di balai ketibaan antarabangsa di KLIA. Terminal juga akan mempunyai 58 skrin paparan cecair kristal yang diseragamkan.

Goldsmid berkata antara jenama besar yang akan dipaparkan di skrin itu ialah Breitling, satu daripada jenama jam tangan paling berprestij di dunia dan L’Oreal.

Pengurus Besar Kanan, perkhidmatan Komersial Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Mohamed Nazli Aziz berkata pemasangan platform pengiklanan digital di KLIA dan klia2 dijangka meningkatkan profil runcit lapangan terbang itu dan meningkatkan sumbangan hasil bukan aeronautik kepada kumpulan itu.  

Enggan mendedahkan jumlah hasil yang akan dijana, Mohamed Nazli berkata satu daripada penyumbang utama kepada hasil bukan aeronautik adalah pendapatan daripada pengiklanan.

“Kita melihat ini (platform media digital) sebagai aliran pendapatan utama kepada MAHB. Ini adalah sebahagian daripada program reset komersial, yang bertujuan untuk meningkatkan profil runcit lapangan terbang kami dan juga memberi gambaran pertama mengenai lapang terbang kami sebagai pintu masuk ke negara kita, dan kami sedang berusaha untuk menyambut kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran itu.

Mohamed Nazli berkata dua lapangan terbang itu menyasarkan untuk menjadi lebih dari sekadar hab tetapi juga tempat pilihan kepada orang ramai untuk membeli-belah dan makan.

“Dengan pemasangan platform media digital ini, kami dapat memberi tumpuan kepada penyampaian pesanan kami. Kami mahu orang ramai datang ke sini untuk membeli-belah, oleh itu kami boleh menggunakan medium ini secara asasnya untuk memberitahu mereka apa yang kami tawarkan,” katanya.

Beliau berkata MAHB merancang untuk membawa lebih banyak jenama antarabangsa dan jenama tempatan yang menyerlah serta menambah baik makanan dan minuman yang ditawarkan.

“Kami mahu meningkatkan profil lapangan terbang, jadi kami cuba untuk membawakan lebih banyak jenama antarabangsa dan produk terbaik yang boleh ditawarkan orang tempatan, kerana kami melihat lapangan terbang sebagai pusat beli-belah antarabangsa kepada pengunjung yang mahu melihat produk terbaik Malaysia dan kepada rakyat Malaysia yang mahu melihat jenama antarabangsa yang terbaik,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here