GEORGE TOWN, 9 Nov — Perlis berpotensi untuk dibangun dan diperkenalkan sebagai destinasi ekopelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara Ahmad Husni Ahmad Basri berkata beberapa destinasi dan produk pelancongan seperti industri inap desa boleh digilap serta dipromosikan dengan lebih baik berikutan ia bukan sahaja menawarkan tempat penginapan kepada pelancong malah menawarkan pelbagai aktiviti kampung.

“Industri rumah inap desa di Perlis amnya mempunyai potensi yang amat luas. Selain menyediakan perkhidmatan untuk penyewa menginap, penyewa mampu menyusuri kehidupan kampung melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan seperti ‘jungle trekking’, berbasikal, memancing, memasak, bermain permainan tradisional dan banyak lagi.

Perlis sememangnya menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia untuk sukan panjat batu di Bukit Keteri, pertandingan lumba perahu panjang di Kuala Perlis serta acara-acara tahunan seperti Perlis Marathon, Pesta Angin Timur dan Pesta Air Kuala Perlis. Aktiviti ini kini menjadi satu tarikan pelancongan khususnya kepada golongan belia dan pencinta aktiviti lasak,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Ahmad Husni mengetuai Lawatan Suai Kenal Perlis Pra Tahun Melawat Malaysia (VM) 2020 yang bermula pada 6 Nov sehingga semalam. Seramai 27 orang ahli rombongan yang terdiri daripada pengamal media dan wakil agensi pelancongan dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah menyertai lawatan itu.

Ahmad Husni berkata selain itu, sistem pengangkutan awam yang pelbagai seperti perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) sehingga ke Padang Besar juga memudahkan perjalanan para pelancong ke negeri itu.

Menurutnya, pelancong dengan mudah boleh meneroka Perlis melalui stesen-stesen KTM di Arau, Bukit Keteri dan Padang Besar kemudian menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong, teksi atau perkhidmatan e-hailing untuk ke destinasi seterusnya.

“Sepanjang lawatan ini berlangsung, rombongan telah dibawa ke Padang Besar, Kampung Felda Mata Ayer, Gua Kelam 2, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Perlis, Kuala Perlis dan beberapa tempat tumpuan yang lain.

“Di Kampung Felda Mata Ayer, ahli rombongan dipecahkan dan menginap di rumah inap desa yang disediakan oleh keluarga angkat masing-masing. Inilah konsep rumah inap desa yang sebenar dan ramai tidak tahu. Rumah inap desa kini disamakan dengan rumah sewa atau tumpang di mana tuan rumah hanya menyerahkan kunci kepada penyewa.

Ahmad Husni berkata pihaknya juga kini sedang giat menjalankan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perlis untuk menjadikan negeri itu sebagai sebuah negeri tumpuan pelancong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here