KUALA LUMPUR, 10 Nov — Kerajaan perlu menumpukan usaha membangunkan beberapa syarikat berkualiti berbanding lambakan syarikat serta terbukti mampu bersaing di peringkat serantau dalam usaha mencapai aspirasi negara sebagai sebuah hab pelbagai industri di ASEAN.

Rakan Pengasas Consulting Board Asia Datuk Badlisham Ghazali berkata sejajar matlamat menjadikan Malaysia sebuah Hab ASEAN sebagaimana digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB30), kerajaan perlu melihat perkara dari perspektif berbeza membabitkan pembangunan syarikat-syarikat berkualiti di peringkat serantau.

“Ini (hab ASEAN) bukanlah perkara baharu untuk Malaysia. Kita telah berusaha untuk terbabit dalam banyak perkara seperti maritim, ekonomi digital dan teknologi kewangan (fintech).

“Apakah kita mampu melakukannya (sebagai Hab ASEAN)…ya, kerana kita telah berusaha untuk merealisasikannya sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri keempat lagi iaitu menerusi Wawasan 2020 dan Koridor Raya Multimedia,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Badlisham yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia berkata Malaysia juga tidak perlu melalui proses ‘belajar’ untuk menjadi hab ASEAN kerana negara sudah jelas mengenai hala tuju sasaran itu yang ditimba menerusi pelbagai percubaan, sebelum ini.

“Apa yang perlu adalah kita perlu mengubah minda jika mahu menjadi hab ASEAN. Kita tidak boleh menyasarkan untuk membina produk akhir (semata-mata).

“Malaysia terlalu kecil untuk berkata “kita mahu membina kereta tanpa pemandu yang terbaik di dunia. Sebaliknya, kita perlu fokus mengenai apa yang boleh disumbangkan untuk projek sedemikian, sama ada untuk peringkat serantau malah pasaran dunia. Kita tidak boleh terlalu meluas (dalam merancang untuk membina produk) dan perlu melihat aspek cara untuk mewujudkan kecekapan bagi menyuntik nilai tambah kepada rantaian nilai,” katanya.

Menerusi cara itu, kata Badlisham, syarikat-syarikat tempatan dapat mengakui mampu menjadi yang baik malah cemerlang dari segi membina beberapa komponen untuk projek tertentu dalam kalangan negara-negara ASEAN.

“Sebelum ini, kita selalu berfikir untuk muncul yang terbaik, kita mesti menjadi (di kedudukan) pertama satu-satu subjek itu. Kita tidak perlulah sejauh itu dan boleh menjadi yang kedua, ketiga atau antara 10 teratas dalam subjek tertentu kerana itu pun memadai sebagai aspirasi yang hebat,” katanya.

Badlisham berkata, untuk mencapai sasaran sedemikian, kerajaan perlu menambahbaik aspek modal insan yang kemudiannya dihubungkait dengan rantaian nilai.

“Pasaran Malaysia terlalu kecil untuk menjadi pengeluar tunggal produk yang disasarkan bagi pasaran lebih besar. Malah China misalnya tidak memiliki studio animasi sendiri untuk menghasilkan animasi khusus untuk pasaran China,” katanya.

Malaysia juga telah membina keupayaan syarikat yang mampu menerima sebarang projek animasi sama ada dari China, Perancis atau Amerika Syarikat.

“Kita tidak perlulah menjadi syarikat yang menghasilkan projek tersebut, sebaliknya berperanan sebagai syarikat pembekal komponen penting projek itu. Kita tidak miliki masa yang panjang (di bawah WKB2030).

“Adakalanya, aspirasi tidak menepati impian kerana kita tidak tahu apakah bentuk pelaksanaannya. Kita ada kemampuan tetapi kita juga harus ingat apa yang penting adalah bagaimana ekosistem itu dapat diwujudkan. Sasaran itu dapat dicapai kerana rakyat negara ini boleh menerima pengetahuan sedemikian dan menterjemahkannya (bagi menjayakan usaha itu),” katanya.

Pada akhirnya, kata beliau, ia bukan lagi mengenai berapa banyak syarikat yang telah dihasilkan oleh Malaysia, tetapi lebih penting adalah sama ada syarikat-syarikat terbabit dapat berkembang dan memanfaatkan rantaian nilai tersebut.

WKB2030 telah mengenal pasti 15 cadangan Aktiviti Pertumbuhan Utama Ekonomi (KEGA) yang berpotensi dibangunkan bagi memacu pembangunan ekonomi negara di masa depan.

Mengikut buku WKB2030 yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, cadangan KEGA itu tidak akan mengetepikan pembangunan aktiviti ekonomi sedia ada seperti minyak dan gas, pembuatan, barangan elektrikal dan elektronik dan perkhidmatan lain.

Kesemua 15 KEGA yang telah dipilih sebagai cadangan awal itu ialah hab kewangan Islam 2.0 (gelombang kedua/fintech); ekonomi digital; revolusi perindustrian keempat (4IR); industri kandungan (animasi, pengaturcaraan, hiburan, budaya dan digitalisasi); hab ASEAN; hab halal dan makanan; komoditi Malaysia 2.0; dan pengangkutan, logistik dan mobiliti lestari.

Lainnya adalah ekonomi pesisiran dan maritim (laut antarabangsa); pusat kecemerlangan; tenaga boleh diperbaharui; ekonomi hijau; pertanian pintar dan bernilai tinggi; perkhidmatan termaju dan moden dan pelancongan (Malaysia Truly Asia).

Menurut buku itu, Malaysia juga perlu membangunkan potensi ekonomi sepenuhnya secara holistik dan mampan selain mengekalkan kestabilan politik untuk muncul sebagai hab ekonomi ASEAN dan ‘Harimau Asia.’

Ia turut merujuk unjuran kualitatif yang menjangkakan pada 2050, pertumbuhan ekonomi dunia akan beralih dari Eropah ke Asia, namun Malaysia masih belum memanfaatkan peluang yang diwujudkan menerusi peralihan tersebut.

ASEAN juga disasarkan sebagai hab pengeluaran dan perdagangan global dengan pasaran pengguna global yang paling pesat berkembang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here