SEMENYIH, 11 Nov — Kementerian Pengangkutan mencadangkan pengusaha bas persiaran dan ekspres menyediakan video keselamatan dalam bas masing-masing sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan kepada penumpang seperti yang dilakukan syarikat penerbangan.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata video keselamatan itu juga dapat memberi pendedahan kepada para penumpang tindakan yang boleh diambil apabila berlaku kecemasan selain menggalakkan pemakaian tali pinggang keledar.

“Apabila saya menaiki penerbangan milik syarikat asing di beberapa negara, mereka menggunakan pelbagai pendekatan dalam video keselamatan itu.

“Ada yang mempersembahkan video keselamatan kepada penumpang dengan pendekatan kreatif dan inovatif. Ini secara tidak langsung berjaya menarik perhatian serta kesedaran penumpang,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Terus Maju Services Sdn Bhd, Zhontong Bus dan La Coach Master (Myanmar) Co Ltd di sini, hari ini.

Perjanjian kerjasama itu adalah bagi memperkenalkan teknologi dan aksesori e-bus (green smart bus) dari China serta memasarkan bas keluaran Terus Maju Services Sdn Bhd bagi pasaran luar negara khususnya di Myanmar.

Mengenai pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas, Loke berkata meskipun ia belum diwajibkan namun pembudayaan amalan tersebut perlu dilakukan bagi menggalakkan penumpang memakainya.

“Kita juga berharap syarikat bas boleh membantu menggalakkan kempen ini dan mungkin bermula dengan video keselamatan agar lebih ramai orang akan lihat keselamatan ini sebagai sesuatu yang penting,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan tidak bercadang untuk menggubal peraturan mengenai kadar tambang bas pada masa kini kerana berpendapat ia berpatutan dan perlu dipastikan kompetitif.

Bagaimana pun katanya, kerajaan sentiasa mencari langkah terbaik bagi membantu pengusaha bas menangani kos yang perlu ditanggung pihak mereka.

Dalam pada itu, Loke berkata kementerian menyokong hasrat Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang ingin mengoptimumkan penggunaan bas persiaran menerusi pelbagai medium termasuk e-hailing.

“MATTA mencadangkan supaya bas persiaran yang kosong setelah menghantar penumpang ke destinasi dituju dapat digunakan untuk membawa penumpang lain.

“Mereka melihat perlu diwujudkan satu aplikasi seperti e-hailing untuk bas persiaran ini. Kerajaan melihat ia satu idea yang bernas daripada pihak industri dan bersedia membantu daripada pelbagai sudut seperti pindaan peraturan dan kemudahan, bagaimanapun aplikasi itu hendaklah dibangunkan oleh pihak industri atau swasta,” katanya.

Loke berkata perubahan teknologi pada masa kini membolehkan pelbagai perkhidmatan diberikan kepada rakyat menggunakan aplikasi-aplikasi teknologi maklumat.

“Ia sesuatu yang baik untuk industri dan negara serta selaras dengan dasar kerajaan iaitu mengoptimumkan prasarana dan infrastruktur sedia ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here