KUALA LUMPUR, 12 Nov — Malaysia bakal menjadi tumpuan pada tahun depan menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski berkata penganjuran sidang kemuncak itu penting kepada Malaysia memandangkan matlamat baharu APEC akan diwujudkan pada tahun depan.

“Tahun depan, mereka perlu mencari sasaran dan keutamaan baharu dikenali Matlamat KL atau Matlamat Putrajaya, tetapi ia akan dilakukan di bawah kepemimpinan Malaysia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak APEC ialah pada 1998.

Goledzinowski berkata APEC memutuskan objektif jangka panjangnya secara berkala dan matlamat terakhir yang diterima pakai oleh APEC pada tahun 1994 dikenali Matlamat Bogor.

Baru-baru ini dilaporkan Chile melepaskan hak sebagai tuan rumah sidang kemuncak APEC 2019 – yang dijadual pada 16 hingga 17 Nov di Santiago – ekoran protes antikerajaan.

Menurut apec.org, pemimpin anggota APEC mengumumkan dan menerima pakai ‘matlamat jangka panjang pelaburan serta perdagangan bebas dan terbuka di Asia Pasifik’ dikenali Matlamat Bogor semasa sidang kemuncak APEC di Indonesia pada 1994.

Matlamat Bogor telah memberi inspirasi kepada ekonomi negara anggota ke arah melaksanakan langkah berasingan dan terkumpul untuk mengurangkan sekatan perdagangan dan pelaburan.

Daripada usaha itu, satu hasil positif telah dicapai apabila penurunan ketara purata tarif bagi rantau itu daripada 17 peratus pada 1980-an kepada kira-kira 5.0 peratus pada masa ini.

APEC yang terdiri daripada 21 negara, adalah forum ekonomi serantau ditubuhkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat di kalangan negara Asia Pasifik dan bertujuan untuk mewujudkan kemakmuran dengan menggalakkan keseimbangan, inklusif, kelestarian, inovatif dan jaminan pertumbuhan termasuk meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here