KUALA LUMPUR, 24 Okt — Kenaikan Malaysia dalam tangga senarai Bank Dunia sebagai tempat terbaik menjalankan perniagaan akan meningkatkan tarikan dan keyakinan pelabur terhadap negara ini, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Laporan ‘Doing Business 2020’ yang diedarkan oleh Bank Dunia baru-baru ini, menyenaraikan Malaysia pada tangga ke-12 di kalangan 190 ekonomi seluruh dunia, naik dari tempat ke-15 pada tahun sebelumnya.

Kedudukan terbaharu ini akan membantu kerajaan dalam mengenalpasti kesan pelaksanaan dasar serta menilai keberkesanannya.

“Faktor utama dalam peningkatan ini mungkin disumbangkan oleh tempoh masa yang lebih rendah bagi kelulusan pengawalseliaan, infrastruktur fizikal yang mantap serta ketersediaan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

“Saya rasa penarafan ini boleh dimajukan lagi, memandangkan kerajaan sekarang sedang mengutamakan pembaharuan institusi dan jika ia dilaksanakan dengan baik, akan lebih memudahkan perjalanan sesebuah perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, tempoh yang lebih panjang diperlukan bagi tujuan meningkatkan angka tenaga kerja mahir di negara ini.

“Kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang berkemahiran rendah juga perlu dilakukan secara beransur-ansur memandangkan Malaysia perlu membina kapasiti yang akan meningkatkan permintaan ke atas tenaga buruh tempatan yang lebih mahir.

“Buat masa sekarang, kerajaan telah memperkenalkan #Malaysia Kerja melalui Belanjawan 2020,” katanya, sambil menambah bahawa insiatif itu bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi golongan belia dan wanita termasuk untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing yang berkemahiran rendah.

Afzanizam menekankan bahawa pelaksanaan, daya tarikan dan pembelian di kalangan pemegang kepentingan adalah penting untuk membolehkan peralihan dilakukan dengan lancar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada awal bulan ini, memberitahu kerajaan menjangkakan inisiatif #Malaysia Kerja akan mewujudkan sejumlah 350,000 pekerjaan tambahan dalam tempoh lima tahun untuk rakyat Malaysia dan mengurangkan kebergantungan pekerja asing membabitkan 130,000 pekerjaan.

Inisiatif ini akan menelan belanja sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dan dibahagikan kepada empat program iaitu #Graduan Kerja, #Wanita Kerja, #Watan Kerja serta #Perantis Kerja.

Inisiatif tersebut diletakkan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan seterusnya akan diintegrasikan dengan Skim Insurans Pekerjaan serta program pasaran buruh aktif yang lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dalam satu kenyataan hari ini mengaitkan kenaikan dalam tangga senarai Bank Dunia itu kepada kerjasama yang terhasil oleh sektor awam dan swasta serta komitmen dalam kumpulan kerja teknikal di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi meningkatkan kemudahan persekitaran perniagaan.

“Ini disokong pula oleh kepimpinan yang kukuh daripada PEMUDAH dan sumbangan nasihat daripada Kumpulan Bank Dunia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here