KUALA KANGSAR, 10 Nov — Kerajaan negeri Perak hari ini memohon perkenan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk mewartakan Taman Tasik Taiping merangkumi Bukit Larut sebagai Taman Tasik Diraja.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika menyembah maklum cadangan itu kepada Sultan Nazrin berkata apabila diwartakan kelak, sebarang pembangunan di seluruh kawasan itu pada masa hadapan perlu mendapat perkenan Sultan Perak.

“Taman Tasik Taiping adalah satu warisan yang amat berharga. Kerajaan negeri berpendirian, kawasan ini wajib dilindungi daripada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh mencacatkan keindahan semulajadinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan Perak menyasarkan pelancongan sebagai sektor serampang dua mata kerana selain memacu pertumbuhan sektor perkhidmatan ia juga dapat merakyatkan ekonomi rakyat.

“Negeri Perak adalah tanah pusaka yang kaya dengan khazanah warisan, bangsa, budaya, dan sejarah. Khazanah warisan ini merupakan aset peradaban yang menjadi sumber tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara,” katanya.

Menyentuh tentang kebajikan rakyat, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri memberi tumpuan serius kepada usaha menambahbaik jaringan keselamatan sosial sedia ada termasuk memperkenalkan program Kad Perak Prihatin yang memberi manfaat kepada 17,000 isi rumah tahun ini.

Katanya usaha itu akan diperluaskan lagi pada tahun hadapan bagi membela lebih ramai golongan kurang bernasib baik selain ditambah nilai dengan pengenalan program ‘exit policy’ bertujuan mendayaupayakan penerima bantuan terpilih.

Dalam ucapannya, beliau yang mewakili kepimpinan kerajaan negeri berikrar untuk memelihara kemuliaan pemerintahan beraja bertepatan dengan ikrar memperkukuhkan tradisi negeri bersultan dan rakyat beraja, yang diwarisi sejak ratusan tahun.

“Patik sekalian menjunjung tekad untuk memastikan kedaulatan pemerintahan sistem beraja di negeri ini terus subur, elok terjaga, berpadan dengan peredaran waktu dan kekal utuh sepanjang zaman, menjadi payung negeri, menaungi kedaulatan setiap inci tanah negeri dan memayungi jiwa setiap anak negeri, sehingga patik dan sekalian rakyat berasa amat selesa, bahagia, gembira dan damai di hati.

“Patik sekalian juga menjunjung tekad kesetiaan tidak berbelah bahagi ke hadrat Duli Tuanku dan memastikan kerukunan dan kesusilaan menjadi teras keharmonian negeri ini,” kata Ahmad Faizal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here