IPOH, 3 Okt — Kajian mengenai keperluan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan bermaksud kerajaan akan melaksanakan kembali sistem itu sebaliknya ia bergantung kepada kemahuan rakyat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata semua pihak perlu memahami konteks yang dinyatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST.

“Oleh kerana ada seorang pakar ekonomi yang mengatakan mungkin kerajaan perlu kaji, Tun Dr Mahathir kata adalah sekiranya rakyat mahu GST dikembalikan, kita boleh kaji.

“Namun sekiranya rakyat didapati tidak mahu sistem itu dikembalikan, saya rasa suara rakyat akan didengari dan pelaksanaannya (GST) tidak akan dikembalikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat M&S Food Industries Sdn Bhd diikuti SYW Industries Sdn Bhd di sini, hari ini.

Ong berkata kenyataan perdana menteri itu bukan untuk menyeru supaya GST diperkenalkan semula sebaliknya ia hanya pandangan beliau apabila ditanya mengenai cadangan berkenaan.

“Pandangan beliau (perdana menteri) adalah untuk kita menilai sama ada rakyat mahu polisi ini kembali,” katanya.

Sementara itu, lawatan hari ini merupakan usaha Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menerusi Divisyen Kewangan Pembangunan (DFD) untuk mempromosikan skim pembiayaannya dan mewujudkan kesedaran bagi menggalakkan usahawan tempatan menjalinkan usaha sama dengan agensi kerajaan.

Ia bertujuan menunjukkan pencapaian MIDF dalam menyusun semula sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi mengikut sektor atau industri tertentu yang disasarkan kerajaan menerusi pelbagai skim pembiayaan dalam memenuhi hasrat pengembangan mereka.

Dalam perkembangan lain, Ong berkata dalam menuju kepada Industri 4.0, PKS dalam sektor pembuatan diharap mendapatkan sokongan pembiayaan kewangan yang disediakan MIDF untuk mereka meningkatkan produktiviti dan prestasi.

MIDF telah meluluskan 2,090 permohonan pinjaman kepada PKS dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi wilayah utara yang merangkumi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dengan jumlah pembiayaan RM2.65 bilion sejak 2008 untuk membantu membangunkan perniagaan tempatan.

MIDF, yang menyediakan pembiayaan komprehensif pada kadar pembiayaan yang tinggi, tempoh pembayaran balik lebih panjang selain menawarkan kadar untung serendah 4.0 peratus setahun, telah membantu 11,102 syarikat tempatan dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sebanyak RM15.15 bilion sejak ditubuhkan pada 1960.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata kerajaan akan mendengar dan mengambil kira pandangan semua pihak terutamanya rakyat sebelum mengambil langkah memperkenalkan semula GST.

“Kepentingan rakyat sangat diutamakan sebab itu kita akan dengar pandangan mereka termasuk pakar ekonomi. Kalau rakyat tidak mahu GST, tidak perlu tetapi kalau mahu tukar balik kepada GST, itu memang kita kena tengok dan kaji dahulu.

“Saya hendak faham apa masalah dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekarang kerana saya nampak ia okey sahaja.

“Walaupun SST mempunyai sedikit kelemahan tetapi ia tetap berjalan dengan baik, di mana lebih baik daripada rejim cukai terdahulu, GST pada kadar enam peratus yang dianggap tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Amanah Raya Bhd cawangan Alor Setar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem GST sekiranya ia kemahuan rakyat.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai kelewatan pengagihan benih padi kepada petani di negeri ini, Mukhriz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata ia disebabkan benih padi yang diusahakan belum cukup matang.

“Kita tidak cukup masa untuk kejar musim, jadi kena cepat dan caranya ialah kita terpaksa import benih padi supaya boleh seiring dengan tempoh penanaman musim kedua nanti. Saya menjangkakan, dalam masa terdekat benih padi akan sampai untuk diagihkan kepada petani,” katanya.

Isnin lepas, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kepala Batas, Md Tarmizi Ramli dilaporkan berkata sebahagian daripada 42 PPK di Kedah akan berdepan musim kemarau dan penyakit luar musim jika MADA gagal membekalkan benih padi subsidi minggu depan.

Beliau berkata kelewatan itu boleh memberi kesan besar terhadap kitaran dan penanaman padi musim ini seterusnya menjejaskan hasil tuaian pesawah.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here