KINABATANGAN, 5 Okt — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berharap projek infrastruktur pelancongan berasaskan pendidikan di Pusat Pemuliharaan Gajah Pygmy, Hilir Kinabatangan dekat sini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat, terutama penduduk tempatan, mengenai pentingnya memelihara haiwan itu daripada pupus, kata menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Kesal dengan insiden membunuh gajah di Kalabakan baru-baru ini, beliau berkata masyarakat tempatan harus memberi kerjasama kepada usaha memelihara haiwan itu.

“Kita berharap masyarakat tempatan dapat memberi kerjasama sebaik-baiknya untuk menjaga dan bukan menyusahkan atau membunuh gajah.

“Kalau kita tidak bekerjasama, haiwan seumpama ini akan pupus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Pesta Damas 2019 dekat sini malam tadi.

Mohamaddin ditanya pemberita mengenai harapannya terhadap masyarakat yang akan mengunjungi projek infrastruktur pelancongan berasaskan pendidikan itu apabila siap dalam bulan ini.

Projek itu dilaksanakan dengan peruntukan daripada kementeriannya sebanyak RM5.7 juta di bawah pelan pusingan keempat Rancangan Malaysia Ke-10.

Mohamaddin juga berkata projek infrastruktur itu akan menjadi satu daripada tarikan terbaharu di Kinabatangan, khususnya di Sukau, dan boleh menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan di daerah itu, di samping memberi pendidikan kepada orang ramai mengenai usaha memelihara hidupan liar serta alam sekitar.

Katanya, ditambah dengan kemudahan lojing seperti inap desa dan pusat peranginan di Sukau akan menarik pelancong ke daerah itu, khususnya bersempena kempen Melawat Malaysia 2020 (MM2020).

“Insya-Allah, kita berharap nanti kita akan dapat menyambut 30 juta pelancong ke negara ini pada tahun depan bersempena MM2020 dan akan menjana pendapatan RM100 bilion,” katanya.

Mohamaddin berkata sektor pelancongan yang sentiasa menjana pendapatan akan memberi sumbangan besar kepada Wawasan Kemakmuran Bersama iaitu dasar kerajaan yang akan dilancarkan hari ini bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2030.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here