KUALA LUMPUR, 5 Okt — Malaysia harus mempunyai dasar yang jelas dalam memberi kesedaran, mengadaptasi, seterusnya menguasai ekonomi masa hadapan dengan penerokaan dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, automasi, teknologi kewangan dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut Buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dasar, perundangan dan trend perniagaan di negara ini perlu berubah supaya relevan dengan tuntutan ekonomi masa hadapan selain tidak tertumpu kepada menjadi pengguna semata-mata.

“Trend perniagaan dan pemasaran berasaskan ekonomi digital telah mewujudkan pelbagai jenis pekerjaan yang menggunakan aplikasi media sosial.

“Pengenalan pelbagai platform disruptive seperti e-hailing, e-booking dan e-mall juga telah mengubah kaedah pemasaran dan penyediaan perkhidmatan daripada kaedah konvensional kepada dalam talian,” kata buku itu.

Buku itu menyatakan bahawa aktiviti kewangan kini beralih kepada platform digital seperti e-payment dan e-wallet serta robo-advisor sebagai perunding bagi aktiviti berkaitan pelaburan selain proses pengeluaran mengalami perubahan radikal dengan penggunaan teknologi drone, pertanian pintar dan augmented reality (AR).

Ia turut menyebut kegagalan mengadaptasi Ekonomi Masa Hadapan bakal menyebabkan data raya negara akan dikuasai oleh masyarakat global menerusi platform digital merentas sempadan.

“Keadaan ini akan menyukarkan kawalan dari segi jenayah korporat, penipuan, transaksi wang keluar dan kestabilan pertukaran wang asing,” kata buku tersebut.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here