KOTA BHARU, 18 Okt — Program Kempen Menderma Darah “Setitik Darah, Sejuta Kaseh” 4.0 di sini hari ini menampilkan sedikit kelainan apabila ia turut menawarkan rawatan akupuntur, satu bentuk rawatan perubatan tradisional Cina, secara percuma kepada penderma darah sebagai penghargaan serta pengenalan penjagaan kesihatan lebih berkesan.

Pengerusi program itu Eric Tan berkata kebaikan rawatan akupuntur ialah dapat memberi kelegaan pada rasa sakit dalaman (rohani) dan menambahkan tenaga daya badan (jasmani), selain dapat melancarkan peredaran darah, haba serta mengimbangi tenaga dalaman tubuh badan, di samping membaiki aliran dan fungsi otot-otot seluruh tubuh.

“Rawatan akupuntur percuma ini dikendalikan oleh tiga pakar akupuntur di Kelantan bagi menghargai penderma darah,” katanya ketika ditemui selepas program derma darah di Dewan Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, Ketua Gabungan Pemuda Pertubuhan Tionghua Wee Pock Soon, Ketua Wanita Gabungan Pertubuhan Tionghua Lee Geok Hua dan Ketua Unit Tabung Darah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Dr Zalina Mahmood.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata pihaknya yang turut menjadi penganjur bersama program itu, dan menurutnya kempen itu disasar mengumpul lebih 100 bag darah bagi Unit Tabung Darah HRPZII dalam usaha membantu pesakit yang mengalami kemalangan, wanita bersalin, kanser dan talasemia.

Merujuk kepada akupuntur pulas, beliau berkata rawatannya haruslah dijalankan bersama pakar yang sah atau ahli terapi terapeutik bertauliah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here