GEORGE TOWN, 19 Okt — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berharap para pengusaha dan pekebun durian dapat memperhebatkan aktiviti agropelancongan berasaskan durian menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata durian Malaysia telah mendapat pelbagai pengiktirafan di serata dunia dan harus dijadikan sebagai satu bentuk tarikan pelancong.

Menurutnya, agro pelancongan berasaskan durian harus dijadikan sebagai salah satu sumber baharu menjelang tahun 2020 selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kunjungan pelancong.

“Berdasarkan permintaan yang tinggi di pasaran dalam dan luar negara, kualiti dan pelbagai jenis durian negara mampu menjadi satu sumber tarikan baharu kepada pelancong untuk melawat negara,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pelancongan Durian Bersama Peserta Industri Durian Wilayah Utara di sini hari ini.

Sim berkata pengeluaran durian setiap tahun sememangnya mencukupi untuk pasaran tempatan dan juga untuk dieksport.

“Namun menjelang TMM2020 di mana permintaan dijangka akan naik, saya berharap para pekebun akan mengikut Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi pasaran,” katanya.

Katanya, setiap tahun, pengeluaran durian di negara secara purata adalah 252,000 tan metrik.

Sim berkata pihak kementerian tidak berhasrat untuk menyekat eksport durian ke luar negara walaupun jumlah pengeluaran berkurangan akibat cuaca yang tidak menentu.

“Sasaran pengeluaran kita adalah 1,000 tan metrik durian setiap bulan untuk di eksport ke China dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Keluasan penanaman durian di Malaysia pada tahun lepas direkodkan seluas 72,464 hektar dengan pengeluaran sebanyak 251,910 tan metrik.

Kuantiti eksport durian pula berjumlah 23,381 tan metrik dengan nilai RM118.2 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here