KUALA LUMPUR, 9 Jan — Alibaba Cloud, cabang risikan data Alibaba Group, akan menyediakan PolarDB, teknologi pangkalan data hubungan generasi seterusnya kepada PrestoMall untuk memperkasakan pertumbuhan fasa seterusnya platform e-dagang itu.

Naib Presiden Alibaba Cloud Dr Feifei Li dalam satu kenyataan berkata syarikat perlu memiliki akses kepada infrastruktur perkomputeran teknologi awan yang boleh dipercayai, kos efektif dan berprestasi tinggi.

“Kami percaya PolarDB akan menambah nilai yang besar kepada syarikat e-dagang.

“Kami berbangga menyediakan PolarDB kepada pasaran Malaysia bagi memberikan pilihan kepada syarikat tempatan untuk menggunakan teknologi berprestasi tinggi yang kos efektif bagi memenuhi permintaan digital yang sedang meningkat, menerajui persaingan digital,” katanya.  

PrestoMall, yang dahulunya dikenali sebagai 11street Malaysia adalah pasaran dalam talian tempatan terbesar di Malaysia.

Dengan PolarDB, infrastruktur PrestoMall mampu memproses berjuta-juta pertanyaan sesaat dan boleh menyokong sehingga 100 terabait data, di samping menyediakan secara serentak keselamatan, jaminan dan ketersediaan pengkalan data komersial tradisional.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here