BEIJING, 16 Jan (Bernama) — “Rasa sayang hey, Rasa sayang sayang hey, Hey lihat nona jauh, Rasa sayang sayang hey….”

Lagu Rasa Sayang ini yang biasanya diikuti dengan pantun adalah antara lagu rakyat yang sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Bagi penulis, lagu ini mempamerkan betapa indahnya bahasa Melayu yang tinggi nilai dan kesantunannya selain menjadi wadah perpaduan kaum di negara ini.

Setelah sekian lama tidak mendengar lagu ini didendangkan, penulis berpeluang mendengar lagu ini ketika berada di Tanah Besar China. Apa yang menariknya ia dinyanyikan oleh seorang gadis yang memperkenalkan namanya, Liang Liang atau lebih mesra disapa sebagai Husna.

Pertemuan dengan Liang, 25, ini berlangsung di pejabatnya di China Radio International (CRI), di Beijing baru-baru ini, dan ia benar-benar menyerlahkan kebolehan gadis ini bertutur bahasa Melayu dengan begitu baik sekali.

Bukan sahaja dapat menyanyikan lagu Rasa Sayang siap dengan pantun, lebih mengagumkan ialah gadis berasal dari Yunnan, daerah barat daya China ini begitu fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Wah! bahasa Melayu yang dituturkan Liang jauh lebih baik dan gramatis berbanding bahasa Melayu yang aku ungkapkan,” getus hati penulis sambil perasaan malu, mula menjalar dalam diri ini.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Menyingkap kembali bagaimana Liang mula “jatuh cinta” dan diperkenalkan dengan bahasa Melayu, gadis itu menyifatkan ia sesuai digambarkan dengan pepatah Melayu “Tak kenal maka tak Cinta”.

Menurut Liang, sebaik menamatkan pengajian peringkat menengah, beliau mengikuti beberapa program yang dianjurkan di kampungnya untuk mengenali lebih dekat budaya dan bahasa negara di Asia seperti Thailand, Kemboja dan Malaysia.

“Apabila diperkenalkan tentang Malaysia, dari situ saya jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan seterusnya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China selama tiga tahun pada 2013 dan satu tahun lagi di Universiti Malaya (UM) di Malaysia pada 2016, katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau yang kini bertugas sebagai penterjemah, wartawan penyiaran dan juruhebah bagi siaran bahasa Melayu radio CRI, di Beijing berkata, pengalaman mempelajari bahasa Melayu adalah sesuatu yang sangat menarik buat dirinya.

Kata Liang, walaupun hampir kesemua rakan sekerjanya berbangsa Cina, tetapi mereka tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian di pejabat.

“Kami saling bantu membantu antara satu sama lain bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu masing-masing.

“Menariknya, melalui bahasa, hubungan antara kami semakin erat,” kata Liang yang bertugas di CRI sejak 2017.

BAHASA PERNIAGAAN 

Penulis juga berkesempatan berkenalan dengan seorang peniaga kelengkapan rumah, Liew Huan, 34, yang penulis temui di kawasan tumpuan pelancong di Hongqiao Pearl Market, daerah Dongcheng, dekat sini.

Beliau juga mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik.

“Adik saya juga boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan kami sering berborak dalam bahasa Melayu walaupun di rumah,” kata Liew yang berasal dari wilayah Shandong, timur China.

Liew atau nama Islamnya Fatimah berkata beliau dapat menarik lebih ramai pelanggan terutamanya dari Malaysia untuk singgah di kedainya yang menjual cadar, langsir, alas meja dan kain, jika bertutur dalam bahasa Melayu.

“Sejak menceburi bidang perniagaan lebih 10 tahun lepas, saya dapati ramai rakyat Malaysia melancong ke China dan disebabkan itu saya mengikuti kelas jangka pendek mempelajari bahasa Melayu selama satu bulan di BFSU,” katanya.

Menurut Liew, pelanggan dari Malaysia pernah memberitahu beliau bahawa mereka lebih selesa dan seolah-olah berada di tanah air sendiri ketika membeli-belah di kedainya di Beijing.

Liew kini mempunyai dua cawangan kedai Fatimah Shop di daerah Dongcheng, Beijing dan turut mempunyai cawangan di Puchong, Malaysia. Perniagaan di Puchong diusahakan bersama-sama seorang rakan kongsi rakyat Malaysia.

BAHASA PERHUBUNGAN, PUNYAI 300 JUTA PENUTUR

Berdasarkan kajian Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, terdapat 16 universiti awam di negara Tembok Besar itu yang menawarkan jurusan bahasa Melayu. Dianggarkan seramai 600 pelajar China mengikuti pengajian bahasa Melayu, setiap tahun.

Ini membuktikan kedudukan bahasa Melayu yang kini mempunyai lebih 300 juta penutur dimartabatkan pada peringkat global sebagai bahasa perhubungan (lingua franca) serta menjadi antara bahasa terpenting di dunia.

Bahkan baru-baru ini, kerajaan Nepal bercadang memperkenalkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran elektif di sekolah. Ia bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu sekali gus memudahkan rakyatnya menceburi bidang pekerjaan di Malaysia kelak.

Namun, hakikatnya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, penulis boleh ibaratkan sebagai “melukut di tepi gantang”.

Ini kerana masih ada pihak yang tidak bersungguh-sungguh menggunakan bahasa Melayu dalam urusan harian, sedangkan negara asing begitu rancak mempelajari dan mengaplikasikan bahasa Melayu dalam pelbagai urusan di negara mereka.

Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu di BFSU, Roziah Adama, 35, berpendapat tidak salah untuk mempelajari bahasa lain kerana ia dapat memberi nilai tambah kepada seseorang individu itu, namun bahasa kebangsaan harus terus diperkasakan.

“Tahu lebih daripada satu bahasa, ibarat bonus tetapi janganlah sampai menganak tiri bahasa ibunda.

“Semua pihak harus mengikis persepsi bahawa bahasa Melayu tiada nilai ekonomi atau ruang di pentas antarabangsa,” kata Roziah yang berasal dari Lahad Datu, Sabah dan telah lima tahun mengajar di BFSU.

Menurut Roziah, usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa semakin diperkukuhkan dan ini dapat dilihat dengan penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri yang diadakan setiap tahun dan menerima banyak penyertaan dari merata dunia.

“Ini merupakan penanda aras yang membuktikan bahasa Melayu mempunyai tempat di hati masyarakat dunia.

“Sebagai rakyat yang cintakan negara tanpa mengira status atau keturunan, kita harus menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan agar bahasa Melayu terus dinobatkan di persada dunia, ” katanya.

Disunting oleh Rafe’ aton Md. Ali dan Melati Mohd Ariff

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here