KUALA LUMPUR, 2 Feb — “Tak sabar rasanya nak balik dan jumpa keluarga saya. Akhirnya, hasrat saya menjadi kenyataan,” demikian luahan gembira seorang pelajar Malaysia yang berada di Wuhan, China.

Pelajar Huazhong University of Science and Technology, Dr Lai Hsiaw Jie, 24, berkata beliau sangat teruja menerima berita seramai 132 orang terdiri daripada 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan, China esok berikutan wabak novel koronavirus 2019.

Beliau berkata pihak Kedutaan Besar Malaysia di China juga telah memaklumkan kepadanya agar setiap daripada mereka (rakyat Malaysia di Wuhan) bersedia dan menghantar lokasi kediaman masing-masing menerusi aplikasi WeChat untuk mereka dijemput pulang.

“Saya amat teruja mendapat berita itu… Saya telah menyimpan barang saya lebih awal sebagai persediaan jika ada pengumuman  untuk kami balik (ke Malaysia).

“Sudah pasti keluarga saya juga gembira dengan berita ini, apatah lagi ibu bapa saya setiap hari bertanya mengenai keadaan saya sama ada cukup wang dan makanan,” kata anak bongsu daripada empat beradik ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Dr Lai yang berasal dari Lunas, Kedah itu berkata beliau akur dengan arahan pihak berkuasa supaya dikuarantin selama 14 hari selepas pulang dari negara itu.

“Sebelum saya jumpa keluarga dan kawan-kawan, saya tahu saya akan dikuarantin (selama 14 hari) demi kesihatan saya dan semua orang. Saya rela,” katanya yang meneruskan pengajian peringkat sarjana dalam jurusan  Obstetrik dan Ginekologi.

Dalam perkembangan terkini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata seramai 132 orang akan dibawa pulang ke Malaysia dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, esok.

Mereka terdiri daripada 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka.

Dr Wan Azizah turut berkata tertakluk kepada kelulusan kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Berkongsi kegembiraan sama, Ivan Yeo Zhi Yu, 19, pelajar Universiti Geosains China di  Wuhan, berterima kasih kepada kerajaan Malaysia terutamanya pihak Kedutaan Besar Malaysia di China kerana sanggup ‘bersengkang mata’ berusaha membawa mereka pulang ke tanah air.

“Saya bersyukur dengan berita ini. Akhirnya saya boleh balik ke tanah air. Saya telah menyimpan semua barang yang diperlukan…. dan berharap dapat bertemu keluarga tidak lama lagi.

“Untuk kerajaan Malaysia, terima kasih kerana berusaha membawa balik rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan untuk kerajaan China, terima kasih kerana menjaga kami dalam situasi ini, saya harap keadaan akan kembali seperti sediakala tidak lama lagi,” kata Yeo yang berasal dari Bintulu, Sarawak.

Yeo berkata buat masa ini, pihak kedutaan menasihati setiap daripada mereka supaya menjaga keselamatan diri selain meminta mereka menunggu arahan seterusnya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here