MELAKA, 3 Feb (Bernama) — Penjawat awam di negeri ini perlu bersedia memanfaatkan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) yang bakal dilaksanakan di negara ini seiring dengan hasrat menjadikan Melaka sebagai bandar pintar dan berteknologi tinggi. 

Ketua Menteri Adly Zahari berkata penerokaan terhadap teknologi 5G memberi impak positif kepada penjawat awam kerana ia mampu menghubungkan lebih banyak interaksi sekali gus membolehkan produktiviti meningkat dan menambah baik mutu perkhidmatan. 

“Justeru, penjawat awam perlu mengambil maklum mengenai 5G kerana pada masa depan kita tidak boleh lari daripada teknologi berkenaan kerana banyak sektor dan pihak yang akan terlibat dengannya. 

“Antaranya sektor pertanian, keselamatan, kesihatan, hiburan dan sebagainya,” katanya ketika berucap memberi Amanat Februari 2020 kepada penjawat awam kerajaan negeri melalui laman Facebook miliknya di sini, hari ini.

Pada 21 Jan lepas, Bernama melaporkan 5G sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi selama enam bulan sehingga Mac ini. 

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai antara perintis 5G di rantau ASEAN.

Dalam pada itu, Adly berkata tahun lepas, sebanyak 4,140 aduan diterima menerusi Hari Bertemu Rakyat dan daripada jumlah itu, 82 peratus iaitu 3,377 aduan berjaya diselesaikan manakala 18 peratus masih dalam tindakan agensi berkaitan.

Katanya, Hari Bertemu Rakyat yang dilaksanakan sejak Mei 2018 pada setiap Khamis bukan sahaja menjadi medium untuk rakyat menyuarakan aduan mengenai masalah-masalah yang dihadapi tetapi juga sebagai platform untuk menyumbangkan idea dan pandangan kepada kerajaan negeri.

“Selain itu, melalui aplikasi Respons Rakyat Melaka yang dilancarkan pada 8 Nov tahun lepas iaitu platform aduan yang boleh dimuat turun di telefon pintar, sebanyak 401 aduan diterima dan 57.11 peratus daripada jumlah itu berjaya diselesaikan,” katanya. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here