KUALA LUMPUR, 10 Mac — Perbalahan antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakan sekutunya atau lebih dikenali sebagai OPEC+, telah menyebabkan kejatuhan pasaran minyak mentah global pada Isnin dengan harga bahan api itu merosot lebih 30 peratus – satu angka besar sejak Perang Teluk pada 1991.

Ini kemudiannya mencetuskan perang harga di antara dua negara pengeluar minyak utama Arab Saudi dan Rusia.

Impak kejatuhan harga minyak itu turut mengheret turun indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI yang ditutup kebanyakannya rendah pada Isnin apabila susut sebanyak 58.94 mata atau 3.97 peratus kepada 1,424.16 berbanding 1,483.10 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Malah, lebih daripada RM70 bilion (US$1=RM4.23)  ‘lenyap’ daripada Bursa Malaysia susulan kejatuhan harga minyak tersebut yang diburukkan lagi dengan penularan COVID-19 di luar China yang menyaksikan lebih 90 negara terjejas.

Setakat 9 Mac, 2020, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan pertambahan 18 kes positif baharu COVID-19 di negara ini yang menjadikan jumlah kumulatif positif mencecah 117 kes.

Ketika segelintir pihak berpendapat bahawa pasaran saham bukanlah gambaran sebenar keadaan ekonomi semasa, namun pada masa sama ia tidak dapat menolak impak ‘masalah berganda’ (COVID-19 dan kelemahan harga minyak) terhadap pertumbuhan negara ini.

Jika dilihat, Malaysia masih banyak bergantung kepada harga serta pengeluaran minyak itu bagi mengimbangi keadaan fiskalnya. Hasil petroleum itu menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah perolehan negara yang mana bagi setiap US$10 kejatuhan harga minyak, ini akan mengurangkan hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM7 bilion.

Kenanga Research berkata defisit Belanjawan 2020 mungkin meningkat kepada 4.3 peratus daripada 3.4 peratus pada 2019 sekiranya harga minyak mentah Brent mencecah paras purata US$40 setong tahun ini.

Perang minyak menambahkan lagi faktor yang menjejaskan harga minyak mentah selain kemerosotan minyak global dijangka memberi tekanan kepada kapasiti fiskal Malaysia memandangkan Belanjawan 2020 adalah berasaskan andaian harga minyak mentah berada pada US$62 setong.

Harga minyak Brent meningkat sedikit sejak Isnin kepada US$36.84 setong pada petang ini.

Penularan COVID-19 telah menjejaskan aspek permintaan manakala perang minyak pula memburukkan lagi keadaan itu dari sudut penawaran.

Kini semua perhatian terarah kepada 100 hari kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih teraju pentadbiran negara dalam iklim ekonomi yang sukar.

Tempoh itu amat penting bagi perdana menteri dalam mengutamakan inisiatif yang akan membantu beliau mengemudi negara berlandaskan hala tuju yang tepat.

Pengalaman luas dimiliki akan memberi kelebihan kepada Muhyiddin setelah beliau komited untuk memenuhi tanggungjawab sebagai perdana menteri Malaysia kelapan di samping memberi jaminan kepada rakyat bahawa beliau akan membuat keputusan yang betul.

Muhyiddin pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri antara 1981 dan 1986, sebelum  dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Bukit Serampang pada pilihan raya umum ke-7 pada 1986.

Ketika menyandang jawatan tersebut hingga 1996, Johor mencatatkan kemajuan yang pesat dan menjadi antara negeri termaju di Malaysia.

Penolong Profesor Perniagaan dan Masyarakat di Asia School of Business Dr Renato Lima de Oliveira berkata Malaysia masih bergantung kepada harga dan pengeluaran minyak untuk imbangan fiskalnya.

“Penggubal dasar akan menghadapi cabaran yang besar dengan gabungan ekonomi yang lembap berikutan COVID-19, harga minyak yang rendah mengurangkan pendapatan Petronas, dan permintaan kepada pakej rangsangan untuk menangani kesan daripada kelembapan ekonomi global.

“Pendapatan yang berkurangan daripada aktiviti ekonomi (cukai) dan minyak (Petronas), manakala pada masa sama terdapat lebih banyak tekanan untuk meningkatkan perbelanjaan,” katanya kepada Bernama.

Februari lepas, Petronas berkata ia akan membayar dividen sebanyak RM24 bilion kepada kerajaan pada tahun ini dan tiada pelan untuk bayaran dividen khas kepada kerajaan pada 2020.

Pada 2019, Petronas membayar dividen berjumlah RM54 bilion kepada kerajaan termasuk dividen biasa RM24 bilion serta dividen khas RM30 bilion.

Sementara itu, wujud ketidaktentuan dalam pertikaian Petronas dengan Sarawak aspek pencukaian minyak yang dilihat akan mengurangkan lagi perolehan pengeluaran minyak yang disumbangkan kepada kerajaan Persekutuan.

Awal bulan ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada budi bicara kerajaan Pusat sama ada akan meneruskan rancangan kerajaan sebelum ini untuk membentangkan Rang Undang-Undang (Pindaan) untuk Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Sabah dan Sarawak.

Satu lagi cabaran besar yang bakal dihadapi pentabiran baharu adalah untuk memperkukuh hubungan kaum yang terjejas sejak Pilihan Raya Umum ke-14 selain mewujudkan kesahan politik menerusi proses Parlimen.

Kalangan penganalisis turut menjangkakan kesinambungan agenda Melayu akan kekal tersenarai dalam kerajaan baharu yang kebanyakannya diwakili bangsa Melayu.

“(Ia akan) menjadi lebih kurang sama, namun, akan lebih tertumpu kepada hal berkaitan agenda Melayu. Lebih banyak program dan wang untuk manfaat kaum Melayu,” kata Pengarah Institut Asia, University of Tasmania, Prof Dr James Chin.

Selain itu, mengulas selanjutnya, de Oliveira berkata Belanjawan 2020 dijangka mengalami pelarasan semula susulan pembentukan kerajaan baharu selain keadaan ekonomi kurang memberangsangkan ketika ini.

Beliau berpendapat harga minyak tahun ini akan menjadi keputusan politik antara negara-negara OPEC.

“Adakah mereka akan merayu kepada Arab Saudi untuk mengurangkan pengeluaran dan meningkatkan sedikit harga, barangkali sekurang-kurangnya menaikkan kembali harga ke paras US$50-US$60 setong? Atau adakah mereka akan gagal mencapai persetujuan, sekiranya semua orang akan menjual pada kapasiti maksimum mereka, yang membawa kepada penurunan harga, tanpa penambat yang jelas?” tanya beliau.

de Oliveira berkata apa yang berlaku pada hujung minggu lepas adalah Arab Saudi sudah tidak mahu lagi berusaha mengurangkan pengeluaran bersendirian, tanpa bantuan pengeluar utama lain seperti Rusia, dan memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran.

Pada Isnin, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinet baharu yang sememangnya dinanti-nantikan. Dalam satu langkah mengejutkan yang memecah tradisi, beliau melantik empat menteri kanan sebagai menggantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Barisan Menteri Kanan tersebut ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan).

Muhyiddin menjanjikan barisan anggota Kabinet yang berkaliber, memiliki integriti dan mempunyai rekod bersih.

Tumpuan kini terarah kepada kepada bila atau sama ada barisan menteri Kabinet baharu itu akan mengisytiharkan harta mereka di bawah Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan pada tahun lepas.

Di bawah pelan tersebut, semua ahli Parlimen, termasuk mereka yang berada di pihak pembangkang, dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dari segi ekonomi, selain pakej rangsangan ekonomi berkaitan COVID-19 berjumlah RM20 bilion, rakyat Malaysia dan pelabur boleh menantikan inisiatif dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan baharu untuk memacu ekonomi negara.

  — BERNAMA  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here