PORT DICKSON, 11 Mac (Bernama) — Selain memiliki pantai yang cantik dan menawan, Port Dickson ada menawarkan pelancongan terumbu karang yang setakat ini terdapat 46 spesies direkodkan di kawasan berkenaan.

Malah apa yang menariknya, sebahagian daripada terumbu karang yang terdapat di negeri ini juga jenis terumbu yang banyak ditemui di pulau negeri pantai timur dan Sabah.

Terumbu karang di sini banyak terdapat di kawasan Monkey Bay dan Lagun Biru, Tanjung Tuan sehingga hotel lima bintang, Lexis Hibiscus, Pasir Panjang, meliputi jarak sepanjang kira-kira 4.2 kilometer.

Untuk melihat terumbu karang berkenaan, pengunjung tidak perlu memiliki peralatan snorkeling atau menyelam skuba, memandangkan ia tumbuh tidak jauh dari permukaan air di pesisiran pantai berkenaan.

 Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip berkata, daripada 46 spesies terumbu karang yang direkodkan, lima daripadanya dikategorikan sebagai ‘vulnerable’ atau mudah terjejas.

Port Dickson menawarkan 55 hotel berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dengan empat daripadanya mendapat taraf lima bintang, empat hotel (empat bintang) serta 12 hotel (tiga bintang).

Antara terumbu karang yang terdapat di Port Dickson ialah Astreopora Myriophthalma; Ctenactis Echinata; Cycloseris Cyclolites; Cyphastrea Chalcidicum; Diploastrea Heliopora; Echinopora Gemmacea; Favites Abdita; Fungia Fungites; Galaxea Astreata; Goniastrea Edwardsi; Goniopora Columna dan Leptastrea Purpurea.

“Biasanya di sini pengunjung lebih gemar buat aktiviti snorkeling sama ada mereka datang sendiri atau melalui pakej yang ditawarkan hotel penginapan… selain di Monkey Bay, kawasan di sekitar Blue Lagoon juga menjadi tarikan untuk melihat terumbu karang.

“Biasanya kawasan ini jadi tumpuan pelancong ketika air pasang kecil kerana ketika itu air jernih. Bagaimanapun pengunjung dinasihatkan supaya tidak mengambil atau merosakkan terumbu karang kerana ia akan memberi kesan kepada habitat laut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam usaha menyemarakkan lagi kesuburan terumbu karang di kawasan ini, Halimi berkata pihaknya pada Oktober tahun lepas telah melabuhkan sebanyak 25 buah tukun tiruan untuk menggalak pertumbuhan karang dan pengumpulan ikan, membabitkan kos sebanyak RM300,000.

“Kesemua 25 buah tukun tiruan itu diletakkan di empat kawasan iaitu di Blue Lagoon, Monkey Bay, Tanjung Tuan dan Pulau Masjid. 

“Peletakan tukun-tukun tiruan ini akan menggalakkan pertumbuhan dan penambahan terumbu karang baharu. Kita berharap ia akan menambahkan lagi keunikan kawasan ini sekaligus akan menjadi suatu tarikan baharu kepada para pelancong yang gemar snorkeling dan selam skuba,” katanya.

Menurut Halimi, kawasan berkenaan juga ‘meriah’ dengan pelbagai hidupan marin seperti ikan GT (gerepoh), kerapu pisang atau sonoh (coral trout), selar dan yu sirip hitam. 

“Kawasan ini juga adalah kawasan rayau bagi penyu di mana terdapat dua spesies penyu di sini iaitu penyu agar dan karah. Penyu yang biasanya terkenal di pantai timur ini sebenarnya banyak mendarat untuk bertelur di pantai Port Dickson ini. 

“Kebanyakannya dapat dikutip dan ditetaskan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson di Teluk Kemang, lalu dilepaskan semula di pantai ini,” katanya.

Sementara itu, kawasan yang menempatkan terumbu karang adalah Kawasan Larangan Perikanan yang diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994, Akta Perikanan 1985, di mana sebarang aktiviti penangkapan ikan mahu pun mengambil cengkerang atau terumbu karang, dalam jarak satu batu nautika dari pantai berkenaan dilarang. 

“Pewartaan ini bagi melindungi terumbu karang yang sangat unik yang hidup di sepanjang pesisiran pantai ini. Kegagalan mematuhi peraturan di kawasan berkenaan, mereka boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here