PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) — Sebanyak 153 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini meningkat kepada 4,683, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian akibat pandemik itu menjadikan jumlah  kumulatif kes kematian COVID-19 ketika ini sebanyak 76 atau 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, seramai 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Oleh itu, selepas kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,499 kes.

“Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, tiga kematian baharu dicatatkan hari ini merupakan kes kematian ke-74 (kes ke-4,531) membabitkan lelaki warga Malaysia berumur 54 tahun, mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan pada 11 April lepas dan disahkan meninggal dunia hari ini, pada pukul 1.50 pagi.  

“Kes kematian ke-75 (kes ke-3,469) melibatkan lelaki warga Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau dirawat di Hospital Taiping, Perak pada 1 April lepas dan disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 5.23 pagi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kematian ke-76 (kes ke-4,314) merupakan perempuan warga Malaysia berumur 47 tahun, mempunyai latar belakang darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 8 April lepas dan disahkan meninggal dunia pada hari ini pada 7.36 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 113 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah didiscaj daripada wad adalah sebanyak 2,108 kes (45 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here