PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) — Usaha Malaysia dalam memerangi penularan COVID-19 terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah kes positif baharu dicatatkan hari ini adalah yang terendah dengan 36 kes, sejak 12 Mac lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada kematian dilaporkan hari ini, mengekalkan jumlah keseluruhan kematian pada 89. 

“Jumlah kes pulih pada hari ini juga melebihi kes baharu dengan 98 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,295 kes atau 60.74 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini adalah  5,425 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes.

Sehingga kini, 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai penurunan jumlah kes harian sejak tiga hari lepas, Dr Noor Hisham berkata ia adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes terutama dalam tempoh dua minggu lepas.

Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah atau bilangan kes baharu harian boleh kembali meningkat.

“Jumlah atau bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan terutama membabitkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lepas, pola graf kes positif baharu harian di negara ini  tidak menentu dengan bilangan kes tidak kurang daripada tiga angka dengan angka tertinggi 235 kes pada 26 Mac.  

Hari ini, pada minggu keenam PKP dikuatkuasakan, Malaysia mencatat kes positif harian dengan dua angka untuk tiga hari berturut-turut selepas 84 kes semalam dan 54 kes pada Sabtu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here