PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) — Kes baharu positif COVID-19 kekal pada dua angka dengan 69 kes baharu dicatatkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini ialah 6,071 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 12 kes adalah kes import manakala 57 lagi merupakan kes penularan tempatan.

Menurutnya hari ini juga terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah dengan jumlah kumulatif sembuh adalah 4,210 kes iaitu 69.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 14 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,758 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Sementara itu Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa hari ini terdapat satu kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia 103 kes atau 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here