KUANTAN, 8 Julai: Sektor pelancongan Pahang kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong setiap bulan kesan daripada penularan COVID-19 yang melanda negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata kehilangan jumlah pelancong itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Katanya, berikutan pelaksanaan PKP, sektor pelancongan di Pahang tidak dapat beroperasi ketika rakyat diminta untuk kekal di rumah dalam usaha menyekat pandemik terbabit.

“Kesannya, sektor pelancongan terjejas teruk hingga memerlukan tempoh masa untuk kembali pulih dan menambah jumlah kedatangan pelancong, khususnya rakyat di negara ini.

“Sektor pelancongan Pahang terjejas dengan kehilangan 1.05 juta pelancong setiap bulan bermula Mac lalu.

“Berdasarkan statistik Januari hingga Mac tahun ini, seramai 2.32 juta pelancong berkunjung ke negeri ini iaitu menurun 26 peratus berbanding 3.17 juta pelancong bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kita jangkakan jumlah kedatangan pelancong bagi Mac hingga Jun mengalami penurunan ketara berikutan pelaksanaan PKP,” katanya selepas mengadakan sidang video Forum Normal Baharu Pelancongan Pantai Timur di sini, semalam.

Sidang video itu bertujuan merungkai industri pelancongan di Pantai Timur kesan daripada COVID-19 serta strategi promosi, pamasaran produk dan destinasi pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pada forum itu, Pahang diwakili Mohd Sharkar manakala Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Datuk Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman mewakili Kelantan dan Terengganu pula diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu

Sehubungan itu, Mohd Sharkar berkata, sektor pelancongan di negeri itu memerlukan tempoh masa untuk menambah kembali jumlah kedatangan pelancong, khususnya rakyat di negara ini.

“Dalam fasa pemulihan ekonomi negara iaitu sektor pelancongan yang mula bergerak, adalah penting untuk negeri Pahang bekerjasama dengan semua pihak untuk membina semula industri pelancongan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here