KUALA LUMPUR, 9 Julai: Sektor pelancongan kini kembali melonjak dengan tempahan hotel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sehingga 30.74 peratus, setakat bulan lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata hotel mula dipenuhi pelancong domestik, sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara yang dilanda pandemik COVID-19.

“Kadar tempahan hotel pada Mac lalu ialah 18.29 peratus, dan kemudiannya menurun pada April kerana kemuncak (COVID-19 di Malaysia) 8.86 peratus manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Mei pula 9.63 peratus.

“Tetapi sehingga 30 Jun, (tempahan) melonjak kepada 30.74 peratus. Ini menandakan rakyat kita berani keluar kerana keadaan di negara agak selamat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihak kementerian sentiasa bekerjasama dengan pemain industri dalam sektor pelancongan bagi menangani kesan COVID-19.

“Kami sentiasa mengadakan sesi libat urus, berbincang dengan penggiat industri pelancongan dan mereka memberi idea, dan kita guna juga sebagai maklum balas untuk kita serahkan kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, beliau memaklumkan kementeriannya akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar bagi membantu mengenal pasti zon hijau di negara luar yang boleh dilaksanakan langkah gelembung perjalanan.

“Sebagai contoh, kita tidak merujuk negara Australia secara menyeluruh, mungkin Perth sahaja,” katanya.

Konsep ‘Green Bubble’ atau ‘laluan hijau’ membabitkan pelonggaran sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mana jangkitan dan kes tempatan COVID-19 adalah rendah.

Nancy juga berkata, kementeriannya juga akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi tujuan itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here