KUANTAN, 15 Ogos — Stesen televisyen di negara ini digalakkan untuk menyiarkan rancangan khas pada pagi 31 Ogos tahun ini, bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang tidak dapat diraikan seperti tahun sebelumnya, ekoran pandemik wabak COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbincangan berhubung perkara itu bersama pihak stesen televisyen akan diadakan Rabu ini, yang mana beliau difahamkan ada stesen televisyen yang sudah membuat rakaman rancangan khas, untuk disiarkan pada hari tersebut. 

Mengambil contoh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Saifuddin berkata mereka sudah membuat rakaman seperti upacara bacaan ikrar, menaikkan bendera dan perbarisan, bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan masih dirasai, walaupun dalam kebiasaan baharu.

“Kebanyakkan rakyat Malaysia menonton televisyen pada pagi Hari Kebangsaan untuk menonton acara perbarisan secara langsung, jadi untuk tahun ini, kita berharap stesen televisyen juga boleh menyiarkan rancangan khas, tetapi mempunyai simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengarah SKMM Pahang Zahari Ismail.

Pada perkembangan berasingan, Saifuddin berkata statistik SKMM sehingga suku pertama tahun ini mendapati, kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk Pahang ialah 101.7 peratus berbanding kadar di peringkat nasional iaitu 127.4 peratus.

Manakala kadar peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan peratusan 80.38 peratus berbanding 88.96 peratus di peringkat nasional, dengan beberapa daerah memerlukan perhatian khusus kerana mencatatkan peratusan yang rendah iaitu Lipis, Cameron Highlands, Rompin, Jerantut, Raub dan Bera.

“Bagi mengatasi masalah itu, sebanyak 30 menara baharu sedang dibina, dengan jangkaan siap beroperasi menjelang suku kedua tahun 2021. Buat masa ini, terdapat 1,827 struktur pemancar sedia ada yang telah beroperasi setakat Julai 2020.

“Sebanyak 147 menara baharu sedang dirancang untuk dibina di seluruh Pahang bagi tujuan perluasan rangkaian perkhidmatan 4G, terutamanya di kawasan penempatan penduduk luar bandar dan berdasarkan kepada kekerapan aduan berkaitan kualiti capaian perkhidmatan jalur lebar,” katanya.

Saifuddin menambah antara cabaran yang perlu dihadapi dalam meningkatkan perkhidmatan jalur lebar ialah kos yang lebih tinggi untuk kawasan luar bandar, ekoran faktor geografi yang melibatkan kawasan berbukit dan hutan, jika dibandingkan dengan kawasan bandar.

Sementara itu Fadhlullah Suhaimi berkata, pembinaan menara baru di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai akan dibangunkan oleh syarikat telekomunikasi, manakala di kawasan luar bandar, ia dilakukan oleh SKMM dengan syarikat terlibat yang dipilih menerusi proses tender.

“Kawasan tumpuan ialah kawasan yang banyak aduan dan lokasi ekonomi membangun, seperti lokasi eko-pelancongan yang akan dibuat dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, supaya rancangan ini dapat dilakukan dengan lebih tepat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here