PETALING JAYA, 27 Ogos: Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming hari ini mempertikaikan 4 projek rundingan terus yang kononnya diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) dengan berkata, ia dibuat sebelum gabungan itu memerintah lagi.

Katanya, projek yang didakwa diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) itu dilaksanakan antara Januari dan Mac 2018, iaitu sebelum pilihan raya umum Mei tahun itu.

Beliau juga mendesak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya menjelaskan perkara itu dan mengkaji semula senarai projek yang dikeluarkan semalam.

“Empat projek itu sahaja bernilai RM7.6 juta dan semuanya dilaksanakan sebelum PRU14 lagi walaupun ia disenaraikan dalam projek rundingan terus Miti semasa PH memerintah.

“Saya agak terkejut apabila senarai Miti disebut sebab saya tak pernah diundang ke mana-mana acara itu yang kononnya dianjurkan pada zaman PH. Sekarang saya tahu kisah sebenar, ” katanya di Twitter.

Kementerian Kewangan semalam mengeluarkan perincian 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didakwa diberikan melalui rundingan terus di bawah pentadbiran PH.

Menurut senarai itu, RM545,000 dibelanjakan untuk Young CEO Summit, RM5.9 juta untuk Himpunan Usahawan Bumiputera, RM999,000 untuk Jom Niaga Wilayah Utara dan RM632,000 untuk Mini Satu Daerah Satu Industri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here