PETALING JAYA, 10 Sept: Satu laporan mengenai pengambilan belia bekerja di Malaysia mendakwa keengganan majikan mengembangkan pekerjaan berkemahiran antara punca pertumbuhan ekonomi perlahan dan gaji terbantut.

Laporan itu, yang ditulis Lee Hwok Aun dari Institut Pengajian Asia Tenggara-Yusof Ishak (ISEAS) yang berpangkalan di Singapura, mendapati pekerja muda dan pencari kerja menghadapi kesukaran di mana saja, tetapi belia Malaysia berdepan cabaran unik.

Lee berkata, rakyat Malaysia dengan kelayakan pendidikan tinggi terlalu kerap diambil melakukan pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah yang lebih rendah daripada kelayakan mereka dan kadar anak muda dalam pekerjaan profesional atau teknikal kekal tidak berubah sejak dekad lalu.

Beliau memberitahu FMT, ketakpadanan ini menjejaskan pekerja muda.

“Bekerja dalam pekerjaan di bawah kelayakan seseorang mungkin memberi kesan negatif ke atas gaji, mungkin kerana pekerja itu tidak dapat menggunakan kemahiran berkaitan diploma atau ijazah.”

Laporan beliau menunjukkan individu berpendidikan tinggi dalam industri berkemahiran tinggi mencatatkan pertumbuhan gaji purata lebih tinggi berbanding mereka dalam pekerjaan separuh mahir, menonjolkan peranan industri dalam kenaikan gaji.

Ia turut menunjukkan pertumbuhan gaji umum dan tahap bayaran keseluruhan kekal rendah dalam kalangan anak muda, yang dikaitkannya dengan “kekurangan pekerjaan mahir dan lebihan calon berkemahiran”, membolehkan majikan untuk menurunkan gaji.

“Majikan terus membayar gaji rendah dan enggan menaikkan bayaran tahap permulaan disebabkan mereka boleh berbuat demikian.

“Mentaliti lazim itu ialah menganggap pekerja sebagai kos berbanding sumber, dengan membayar gaji rendah berbanding menggunakan model bayaran lebih tinggi untuk menarik dan mengembangkan bakat.”

Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) bertujuan memastikan 35% pekerja menceburi pekerjaan mahir menjelang 2020, sasaran yang terbukti gagal dicapai. Pada 2019, hanya 11.3% tenaga kerja diambil dalam pekerjaan mahir.

Lee mendapati satu daripada punca perbezaan ini ialah ada ramai graduan berpendidikan tinggi berbanding kekosongan jawatan mahir, yang menunjukkan syarikat dan kerajaan perlu berusaha mempromosikan pekerjaan berkemahiran tinggi yang sesuai dengan kemampuan tenaga kerja muda.

“Perubahan sistematik perlu untuk mendorong majikan menggunakan strategi berlainan untuk meningkatkan produktiviti dan membayar gaji lebih tinggi,” katanya sambil mendapati pinjaman dan sokongan PKS untuk kontraktor serta vendor tempatan boleh mendorong pengambilan pekerja berkemahiran tinggi dan meningkatkan kemahiran pekerja.

Tambahan, beliau percaya mengubah tafsiran “kerja sepenuh masa” daripada 48 jam seminggu kepada 40 jam boleh “membuatkan syarikat memikirkan semula cara mereka beroperasi, dan diharapkan ia dapat mewujudkan keadaan yang sejajar aspirasi negara untuk pekerjaan berkualiti dan keseimbangan dalam kehidupan serta pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here