KUALA LUMPUR, 11 Okt — Badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digalakkan bekerjasama dalam memberi sokongan kewangan serta bimbingan bagi membantu menjadikan persekitaran perumahan kos rendah lebih selesa dan kondusif.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani berkata sokongan itu penting untuk mewujudkan ruang komuniti bagi aktiviti dan interaksi sosial di perumahan yang majoriti dihuni kumpulan isi rumah B40. 

“Kawasan kosong seperti ruang legar di tingkat bawah misalnya boleh dinaik taraf dan dimanfaatkan menjadi ruang serba guna, bagi tujuan seperti belajar secara berkumpulan dan pelbagai aktiviti berfaedah lain.

“Namun penduduk mungkin kurang kesedaran, menghadapi kekangan kewangan dan kekurangan pengetahuan serta bimbingan bagi melaksanakannya sendiri,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang pakar dalam bidang pembentukan pembandaran lestari berkata, ruang itu amat penting terutama dalam situasi COVID-19 yang memerlukan orang ramai tinggal di rumah, apalagi rumah sempit dan tidak selesa. 

Wan Nurul Mardiah yang juga Timbalan Pengarah syarikat penyelidikan dan pembangunan bebas keuntungan iaitu Institut Sultan Iskandar UTM berkata pihaknya sedia menjadi pemudah cara bagi membantu meningkatkan kualiti persekitaran yang mempengaruhi pembangunan sosial masyarakat. 

“Institut Sultan Iskandar UTM sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mendapat sokongan daripada aspek dana dan bimbingan kemahiran.

“Ia juga sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta tanggungjawab semua pihak dalam memastikan setiap lapisan masyarakat berhak mendapat tempat tinggal yang selesa,” katanya.

Presiden Persatuan Reka Bentuk Bandar Malaysia (PEREKABANDAR) Dr Shuhana Shamsuddin pula berpandangan bahawa kesedaran masyarakat dan pihak berwajib untuk memastikan persekitaran tempat tinggal sentiasa diselenggara masih rendah.

Menurut Shuhana, masyarakat khususnya persatuan penduduk perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan persekitaran luar rumah lebih kondusif.

“Penyelenggaraan berterusan amat penting, kadang-kadang kemudahan seperti taman permainan tidak dapat digunakan kerana peralatan rosak dan tidak selamat.

“Begitu juga dengan cat, ia tentunya perlu dilakukan secara berkala terutama bagi perumahan awam contohnya dua tahun sekali, kerana ia akan kembali pudar dan menjadikan bangunan nampak usang,” katanya.

Shuhana yang juga Profesor Adjung di UTM berkata sistem pengurusan sampah juga sering dipandang enteng walaupun jelas memberi kesan buruk terhadap persekitaran.

“Daripada segi psikologi alam sekitar, jika seseorang sering terdedah kepada persekitaran yang kotor dan selekeh, mereka akan mengalami sindrom environmental numbness menyebabkan mereka tidak ambil kisah kepada persekitaran malah hilang sifat sense of pride kepada persekitaran mereka,” katanya. 

Menurut beliau, situasi COVID-19 sepatutnya membuka mata lebih banyak pihak tentang kepentingan mempunyai tempat tinggal yang bersih dan terjaga. 

“Kita boleh lihat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, betapa pentingnya untuk setiap individu mempunyai ruang terbuka dan akses kepada persekitaran hijau kerana ia memberi pengaruh sangat besar kepada psikologi dan pembentukan sosial,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here