KUALA LUMPUR, 10 Nov — Unjuran sektor hartanah di Malaysia dijangka kekal neutral pada 2021 berikutan sentimen berhati-hati disebabkan pandemik COVID-19. 

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata sentimen jangka pendek itu adalah mengambil kira peningkatan kes COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negara ini.

“Bagaimanapun, kami berharap dapat menyaksikan peningkatan aktiviti pelaburan berikutan persekitaran yang kondusif pada masa ini seperti pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan sebagainya.

“Saya berpendapat pemulihan pasaran dijangka berlaku pada separuh kedua 2021 untuk kembali semula kepada tahap pra-COVID-19,” katanya pada sesi webinar bersempena Pratonton Eksklusif Media Ekspo Hartanah Maya Asia (Asia Virtual Property Expo – AVPE) anjuran PropertyGuru Group hari ini.

Kerajaan mengumumkan beberapa insentif cukai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) termasuk pengecualian RPGT kepada rakyat Malaysia bagi penjualan hartanah kediaman mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Dis 2021.

Selain itu, penurunan kumulatif Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) kepada paras terendah 1.75 peratus akan mengurangkan kadar faedah efektif pinjaman perumahan daripada kebanyakan bank kepada kira-kira tiga peratus, bergantung kepada jumlah pinjaman.

Dalam perkembangan lain, PropertyGuru – syarikat teknologi hartanah di Asia Tenggara akan menjadi tuan rumah AVPE, ekspo hartanah maya pelbagai pasaran terbesar mulai 11 Nov hingga 12 Dis 2020.

Ekspo selama sebulan itu akan memanfaatkan kehadiran kumpulan itu di peringkat serantau untuk mempamerkan lebih 300 projek dari 10 negara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Filipina, Myanmar, Australia dan United Kingdom. 

Fernandez berkata penganjuran AVPE akan membolehkan pembeli rumah dan pelabur untuk melihat hartanah tempatan dan antarabangsa dan menghubungkan pemaju hartanah secara masa nyata, hanya daripada kediaman masing-masing.

“Pencari hartanah boleh melayari reruai secara maya dan melihat beberapa projek terbaik yang tersedia,” katanya sambil memaklumkan ekspo itu akan turut mempamerkan 80 projek dari Malaysia.

Pemaju yang mengambil bahagian dalam ekspo itu adalah termasuk Sunway Group, Tropicana Corporation Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) and Matrix Concepts Holdings Bhd, highlighting premier offerings such as Sunway Velocity TWO, Edelweiss Services Residences@Tropicana Gardens, Tria@9 Seputeh and Chambers Kuala Lumpur. 

Sementara itu, Fernandez berkata menurut Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia, sebanyak 81 peratus rakyat Malaysia masih mahu memiliki rumah menjelang akhir 2021.

“Menerusi ekspo maya ini, kami berharap dapat melakukan transaksi hartanah tanpa sempadan; menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pencarian projek melalui ‘PropertyGuru FastKey’dan semakan pantas kelulusan pinjaman perumahan dengan 99.99 peratus ketepatan semakan menerusi ‘PropertyGuru Loan Pre-Approval,’” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here