BEIJING,13 Nov — Dagangan antara China dengan ASEAN menyaksikan lonjakan pada tiga suku pertama tahun ini, hingga menjadikan ASEAN rakan dagang terbesar bagi China.

Sementara itu, jumlah pelaburan China di ASEAN merekodkan peningkatan melepasi 70 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, biarpun ekonomi global mengalami kelembapan dan aliran warga rentas negara terbantut ekoran penularan COVID-19.

Perdana Menteri China, Li Keqiang berkata demikian pada  sidang kemuncak China-ASEAN (10+1) ke-23 diadakan secara maya, semalam.

Li berkata, China dan ASEAN berganding bahu dan berjuang seiringan untuk memerangi pandemik COVID-19.

China akan secara aktif mempertimbangkan keperluan negara-negara ASEAN terhadap vaksin COVID-19, di samping memastikan jaringan perhubungan kecemasan kesihatan awam China-ASEAN dilancarkan seawal mungkin dan Forum Kerjasama Kesihatan China-ASEAN ketiga dianjurkan dengan jayanya.

China mengalu-alukan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal dimeterai, bersedia bersama-sama ASEAN melaksanakan perjanjian perdagangan bebas dengan baik, meningkatkan kemudahan dan liberalisasi perdagangan dan pelaburan, dan membina rangkaian “laluan pantas” di rantau ini.

Pemimpin ASEAN melahirkan penghargaan atas keputusan China menawarkan vaksin yang dibangunkannya sebagai produk awam global, serta kesediaan untuk mempertingkat penyelarasan strategi pembangunan dengan China sambil mengintensifkan usaha sama melibatkan sosiobudaya, ekonomi digital, pembasmian kemiskinan, keselamatan bahan makanan dan perubahan iklim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here