PETALING JAYA, 9 Dis: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kesepakatan yang dicapai parti itu dengan Umno dan PPBM adalah hasil kerelaan mengutamakan rakyat dan mengenepikan perbezaan.

“Alhamdulillah, demi rakyat muafakat dimeterai. Utamakan persamaan yang terlalu banyak jua, berbanding dengan perbezaan yang teramat sedikit cuma. Tahniah kerajaan PN Perak dikekalkan (menerusi) Umno, PAS dan PPBM,” katanya di Twitter.

Takiyuddin memuat naik gambar pertemuan pemimpin utama PPBM, PAS dan Umno, iaitu Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang di Parlimen.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa, Setiausaha PPBM Hamzah Zainudin dan Takiyuddin sendiri.

Pertemuan itu menghasilkan perjanjian bertulis PAS dan PPBM untuk menyokong pencalonan pengerusi Umno negeri Saarani Mohammad sebagai menteri besar baharu.

Persetujuan juga dicapai mengenai pelantikan jawatan kanan lain di dalam kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan.

Takiyuddin berkata, penubuhan kerajaan PN itu dianggotai wakil-wakil rakyat dari Umno, PAS dan PPBM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here