ALOR GAJAH, 20 Dis — Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menyasarkan penyertaan antara 300 hingga 400 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) pelbagai produk menyertai program Mega Showcase Barang Buatan Malaysia tahun depan.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata penganjuran program pada skala berimpak besar itu adalah sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) khususnya membabitkan sektor peruncitan.

Beliau berkata ia dirangka bagi memperkasakan perniagaan para usahawan tempatan dengan penglibatan pemain industri pelbagai peringkat rantaian.

“Program yang diadakan secara serentak ini merupakan antara inisiatif menyeluruh untuk memulih dan merancakkan sektor peruncitan negara bagi memastikan usahawan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Inisiatif KBBM dan PJM ini dilihat mampu meningkatkan permintaan domestik khususnya untuk memulihkan ekonomi yang terkesan (dengan pandemik COVID-19),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah KBBM dan PJM peringkat negeri di sebuah pasar raya di sini, Sabtu.

Program jelajah yang dirangka khas oleh Pejabat KPDNHEP Melaka itu berlangsung sehingga 31 Dis depan dan sehingga kini, terdapat 75 usahawan pelbagai produk termasuk kecantikan dan kesihatan, kraf, batik, makanan serta hidroponik mengambil bahagian.

Norena juga berkata perancangan lain bagi memperkasakan perkembangan ekonomi di Melaka termasuk kerjasama Pejabat KPDNHEP Melaka dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Melaka untuk mengadakan program antaranya Kembara KPDNHEP serta meneruskan Jelajah KBBM dan PJM tahun depan.

“Menerusi kerjasama dengan pasar raya dan pusat beli-belah yang dikenal pasti, kita menyediakan tapak ruang berniaga secara percuma kepada usahawan untuk mempromosi dan memasarkan produk mereka kepada pengguna.

“Dengan cara ini, secara tidak langsung ia akan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dan membantu pengusaha tempatan di samping memberi kesedaran kepada masyarakat kualiti barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan setaraf dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here