26 Disember — PULAU Pinang tidak gentar dengan ancaman Kedah yang bercadang untuk membawa isu tuntutan bayaran caj air Sungai Muda ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan, kata P Ramasamy.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, kerajaan negeri tiada masalah untuk membincangkan isu membabitkan kepentingan rakyat terutamanya bekalan air mentah, tetapi ia tidak seharusnya melibatkan ugutan.

“Jika perkara ini dibawa ke mahkamah, kami bersedia untuk melawan kerana kami mempunyai alasan kukuh mengapa Pulau Pinang tidak perlu membayar bagi air mentah. Air mentah diambil dari sungai di sempadan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ramasamy, berdasarkan kepada perjanjian dua hala pada 1980-an yang disokong oleh kerajaan persekutuan, undang undang akan memihak kepada Pulau Pinang.

Sanusi semalam berkata kerajaan negeri Kedah masih mahu menyelesaikan isu tuntutan caj air mentah secara rundingan. Mahkamah adalah jalan terakhir jika isu berkenaan gagal diselesaikan, katanya.

“Sekarang kita runding dahulu di antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, lagipun kita sama-sama dalam Malaysia.

“Tetapi, sekiranya (temui) jalan buntu lagi, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu merupakan jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri,” katanya dipetik Bernama semalam.

Ramasamy berkata jalan terbaik bagi kedua-dua negeri menyelesaikan isu caj air mentah melalui Majlis Sumber Air Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tambah beliau, tindakan Sanusi seolah-olah beliau mempunyai agenda tersembunyi.

“Sanusi seolah-olah mencari jalan untuk menghukum Pulau Pinang.

“Selepas isu kontroversi perobohan kuil reda, beliau mengalih perhatian untuk menuntut RM50 juta setahun dari Pulau Pinang kerana mengambil air mentah dari Sungai Muda,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here