KOTA KINABALU, 13 Jan — Polis Sabah akan melaksanakan 50 sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi strategik termasuk laluan keluar masuk antara daerah di negeri ini sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam tadi.

Ketua Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah ACP Khalid Saion berkata ia bertujuan memastikan orang ramai mematuhi segala peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata kira-kira 4,000 petugas keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bersama-sama pasukan polis dalam melaksanakan SJR berkenaan selama 24 jam.

“Kita juga mempunyai 250 pasukan pemantau untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan selain turut melakukan pemeriksaan mengejut di lokasi-lokasi terpilih. 

“Individu yang ingin melakukan rentas daerah haruslah menunjukkan surat daripada majikan atau surat kebenaran daripada polis ketika melalui SJR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi SJR di Sepanggar yang turut dihadiri Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji tengah malam tadi.

Dalam pada itu, Khalid berkata polis akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here