SIBU, 30 Jan — Kerajaan Sarawak akan membekalkan sebanyak 10 unit mesin bantuan pernafasan kepada Hospital Sibu dalam masa terdekat bagi menampung keperluan rawatan pesakit COVID-19 di hospital itu. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata buat masa ini Hospital Sibu hanya mempunyai tiga unit mesin bantuan pernafasan dan penambahan tersebut amat diperlukan berikutan peningkatan kes COVID-19 di bahagian ini sejak kebelakangan ini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan menambah jumlah pusat kuarantin di Sibu di mana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) kini sedang mengenal pasti bangunan yang boleh dijadikan sebagai pusat kuarantin. 

“Tindakan ini diambil bagi menambah baik usaha kita untuk mengekang penularan COVID-19, ini termasuk aspek penyediaan fasiliti, pusat kuarantin dan logistik (yang baik),” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat JPBBS mengenai COVID-19 di Bahagian Sibu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, JPBBS juga telah diarah mencari jalan untuk menambah baik logistik untuk membawa penduduk dari rumah-rumah panjang, penempatan terpencil dan pedalaman yang positif COVID-19 ke pusat kuarantin.

“Perbelanjaan logistik ditanggung kerajaan negeri, kita juga tidak mahu pesakit COVID-19 tinggal dalam rumah panjang kerana ia boleh merebak kepada penghuni rumah panjang lain,” katanya.

Abang Johari berkata penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Sibu juga perlu dipertingkatkan lagi. 

Katanya, sekiranya ada keperluan, tenaga anggota tentera termasuk anggota askar Wataniah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga akan digemblingkan untuk memastikan penguatkuasaan lebih berkesan.

“Penduduk setempat juga boleh memberi penjelasan mengenai bahaya COVID-19 dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil dengan bahasa mudah difahami penduduk tempatan.

“Ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum juga boleh memainkan peranan untuk memberi nasihat kepada anak-anak buah masing-masing agar sentiasa mematuhi SOP,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here