PUTRAJAYA, 6 Feb — Kesepakatan yang dicapai Malaysia dan Indonesia  berhubung Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik/ Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA) dijangka dapat merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau yang berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan mendapatkan kesepakatan Indonesia itu, berkata inisiatif tersebut merupakan antara pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang dirangka sejak Julai tahun lalu.

“Alhamdulillah, ini merupakan berita baik dan ditunggu-tunggu MOTAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan empat mata itu ialah  pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan RGL, diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

Nancy berkata  MOTAC sebelum ini juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar bagi meneroka peluang mewujudkan gelembung perjalanan.

Katanya beberapa negara telah dikenal pasti bagi tujuan itu, termasuk negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand serta rantau Asia Pasifik seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Negara-negara ini dikenal pasti sebagai selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Pelaksanaannya bagaimanapun adalah tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data, dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan di kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebagai Pengerusi Suruhanjaya bagi Rantau Asia Timur & Pasifik dalam Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global, Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNWTO), Malaysia turut menyuarakan cadangan ketelusan dan penyeragaman prosedur operasi standard merentas sempadan oleh negara-negara yang selamat, bagi memudahkan perjalanan dengan mengambil kira pandangan agensi-agensi kesihatan negara terlibat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here