PETALING JAYA, 15 Feb : Hubungan Umno dan PAS masih dalam keadaan baik walaupun terdapat banyak dakwaan mengatakan dua parti itu sedang berseteru, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Bagi menjelaskan persoalan mengenai kedudukan MN (Muafakat Nasional) yang dimeterai Umno dan PAS pada tahun 2019, apa yang boleh saya katakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar”.

Zahid menerusi kenyataan di Facebook berkata, kerjasama antara Umno dan PAS perlu diteruskan kerana ia terbukti memberi impak positif.

“Hubungan kedua-dua parti masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkan,”katanya.

Mengenang semula detik jalinan kerjasama antara Umno dan PAS, Zahid berkata usaha itu sudah lama disuarakan Haron Din ketika menjadi ketua penerangan PAS.

“Ketika itu, Allahyarham menyatakan betapa hasratnya mahu melihat Umno dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain walaupun tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.

“Saya secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham tuan guru (Haron) kepada saya apabila beliau kembali ke Rahmatullah pada 2016.

“Syukur, wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian piagam MN pada 14 Sept 2019,” katanya.

Kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti berjaya mewujudkan kerjasama Umno dan PAS pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus diperkasakan dan pada masa sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama.

Bagaimanapun, beliau tidak mengupas kenyataan pemimpin PAS sebelum ini yang mahu memperkukuhkan hubungan parti itu dengan PPBM dan Umno.

Hubungan kedua-dua parti itu tegang selepas Umno dilaporkan mahu menamatkan kerjasama dengan PPBM dalam menghadapi PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here