SEREMBAN, 2 Mac — Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan menggesa majikan di negeri ini supaya segera memohon Perakuan Penginapan kerana setakat ini hanya 67 daripada 2,200 majikan pekerja asing telah mendapat perakuan tersebut.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata jumlah itu melibatkan 348 unit tempat tinggal yang menempatkan seramai 4,541 orang pekerja bagi seluruh Negeri Sembilan.

“Selain itu, terdapat juga tempat tinggal di 138 estet di negeri melibatkan 6,000 pekerja. 

“Secara keseluruhan hampir 10,000 pekerja asing di sini menduduki tempat tinggal yang mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” katanya kepada pemberita selepas Operasi Pematuhan Akta 446 (Penginapan Pekerja) di sini hari ini.

Beliau berkata JTK telah mengambil tindakan terhadap 12 majikan, 25 kertas siasatan dibuka dan tujuh didakwa di mahkamah.

“Semasa pemeriksaan sebentar tadi, memang ada majikan tidak mendapatkan perakuan daripada Pengarah JTK. Selain itu, bagi aspek kebersihan dan kemudahan di tempat tinggal pekerja asing di sini juga tidak mengikut Akta 446.

“Saya tegaskan semua majikan perlu mengambil serius perkara ini terutamanya kebajikan pekerja asing mereka, kita lihat pekerja-pekerja ini tinggal dalam keadaan yang panas, tidak selesa dan bau tidak menyenangkan,” katanya

Beliau berkata permohonan perakuan itu diwajibkan di bawah Akta 446 dan tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka jika gagal berbuat demikian.

Penguatkuasaan Akta 446 mulai 1 Sept tahun lepas menetapkan keperluan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here