PETALING JAYA: Majlis Pecah Tanah Projek Taman Solar Sultan Ibrahim di Pengerang, Johor yang dijadualkan pada 23 Mac ini dibatalkan berikutan sehingga kini kerajaan Persekutuan belum memberikan sebarang maklum balas berkaitan cadangan projek itu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini mengumumkan Johor akan menjadi pengeluar utama tenaga mesra alam, dengan pembukaan taman tenaga solar di Pengerang.

“Taman Solar Sultan Ibrahim”, projek bernilai RM1.4 billion itu akan menjadi yang terbesar seumpamanya, di Asia Tenggara dengan berkapasiti 450MW (megawatt),” titah baginda di Facebooknya.

Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak melihat dan tiada alasan mengapa kerajaan Persekutuan tidak boleh memberi peluang kepada Negeri Johor untuk menjadi pengeluar tenaga elektrik mesra alam itu.

Katanya, negeri itu mempunyai kawasan tanah yang sesuai, pembangunan pesat dan permintaan daripada negara jiran menjadikan Johor lokasi yang paling strategik.

“Ia adalah projek pelaburan swasta berskala besar yang pertama diperolehi oleh Negeri Johor bagi tahun 2021 atas usaha Baginda Tuanku Sultan yang sentiasa mengalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat dan negeri Johor.

“Projek itu juga seiring dengan Pelan Pembangunan Mapan Johor 2030 yang mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan ekonomi dan kemakmuran hidup rakyat,” titah baginda.

Menurut Sultan Ibrahim projek itu turut memberi impak kepada pembangunan ekonomi Negeri, malah dapat menawarkan kerja kepada pelbagai peringkat, kerana akan menjadi sistem penyimpanan tenaga solar terbesar di rantau ini apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here