KUALA LUMPUR, 12 Mac– Rundingan untuk  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO berbincang tidak pernah tertutup, malah ia perlu berterusan bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Mengakui ada cabaran dari segi hubungan antara parti, beliau berharap agar setiap perdebatan tertumpu ke arah kebajikan rakyat dan negara.

“Kita kena bezakan antara parti politik dan kerajaan…dari aspek kerajaan boleh dikatakan setiap hari pemimpin Bersatu berjumpa dengan pemimpin UMNO, PAS, MCA, MIC, yang ada dalam Perikatan Nasional (PN) kerana perbincangan urusan pentadbiran kerajaan sentiasa berjalan.

“Di peringkat parti, kami di Bersatu sentiasa konsisten bahawa yang penting adalah untuk kesatuan dikekalkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam mana-mana hubungan antara parti politik, perkara yang mencabar adalah di peringkat rundingan kerusi untuk pilihan raya bagaimanapun beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

Kepada soalan sekiranya UMNO membuat resolusi untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada perhimpunan agungnya, Wan Saiful berkata pada masa ini belum ada sebarang keputusan dibuat.

“Kita tunggulah sehingga Perhimpunan Agung UMNO berjalan dan keputusan sebenar dicapai, baru kita fikirkan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here