PETALING JAYA, 24 Mac: Seorang pakar keselamatan menggesa kerajaan bersikap tegas dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara.
Ini termasuk mengenakan hukuman berat seperti yang diperuntukkan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap mereka yang terlibat.

Pakar kajian strategik dan anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis, Mizan Mohammad Aslam berkata, hukuman sama juga perlu dikenakan sekiranya sindiket itu didalangi pegawai kerajaan atau rakyat tempatan kerana ia membabitkan keselamatan negara.

Tambah beliau, ini termasuk sekiranya ia membabitkan penglibatan orang kenamaan, dan hukuman perlu lebih berat daripada sekadar ditukar jabatan.

“Negara perlu belajar daripada negara yang berjaya membanteras kehadiran PATI seperti Arab Saudi, Israel dan Singapura, dari segi sistem kawalan,” kata beliau kepada FMT.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, hampir 7,000 PATI diusir dari Sabah sejak negeri itu diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“(Selain itu) berdasarkan rekod dari 1990 hingga Mac 2021, lebih 600,000 PATI, terutamanya dari Filipina dan Indonesia diusir dari Sabah,” kata Hamzah.

Mizan, yang juga pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri memuji kejayaan kerajaan negeri Sabah itu.

Namun, beliau mempersoalkan baki PATI yang masih ada di negeri itu yang berkemungkinan masih besar bilangannya dan dikhuatiri menguasai pelbagai sektor tanpa disedari.

“Seharusnya, data ini, selain langkah proaktif yang diambil, perlu didedahkan kepada umum secara telus,” kata beliau.

“Ia termasuk menyediakan pelan jangka panjang dan jangka pendek supaya isu PATI ini berjaya diselesaikan kerana ia membabitkan kedaulatan negara dan akan mendatangkan malapetaka jika tidak dikekang sebaiknya.”

Mengulas lanjut, Mizan berkata, Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada negara-negara seperti Fiji di mana kerajaannya secara tidak langsung ditumbangkan oleh PATI.

Kata beliau, sejarah membuktikan bagaimana PATI boleh berkomplot dengan kelompok Sultan Kiram di Timur Laut Sabah dan akhirnya cuba menyerang Malaysia.

“Sejarah ini boleh berulang jika tidak dikawal. Pergerakan pengganas antara Filipina, Malaysia, Indonesia memang bukan sesuatu yang boleh dinafikan dan ia merupakan ‘hotbed’ kepada pergerakan kelompok pengganas ini,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here