SHAH ALAM, 29 Mac — Hijrah Selangor yang bertujuan membantu usahawan kecil dan sederhana di Selangor, berjaya menyalurkan pinjaman kewangan sebanyak RM554.54 juta melibatkan 70,752 pinjaman dalam tempoh enam tahun penubuhannya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta pada tahun ini bagi program di bawah Hijrah Selangor iaitu Skim Pembiayaan Mikrokredit, Skim Pembiayaan Zero to Hero dan skim pembiayaan baharu Hijrah Selangor iaitu Skim Pembiayaan Go Digital dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDl).

Seramai 57, 211 usahawan telah mendapat manfaat sepanjang enam tahun pelaksanaan program ini yang dikendalikan Yayasan Hijrah Selangor, katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Agensi Pelaksana Program Kerajaan Negeri Selangor bersempena sambutan ulang tahun Yayasan Hijrah Selangor keenam di sini, hari ini.

“Diharapkan kewujudan dua skim pembiayaan baharu Hijrah Selangor iaitu NaDi dan Skim Pembiayaan Go Digital dapat membantu usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk terus bangkit dan seterusnya meningkatkan jumlah usahawan di bawah Hijrah Selangor,” katanya.

Ketika ditanya sama ada peruntukan RM30 juta itu mungkin dinaikkan pada tahun hadapan, Amirudin berkata peruntukan untuk Hijrah Selangor adalah bergantung kepada cadangan dan program yang diminta serta berdasarkan pihak pengurusan Hijrah Selangor.

“Biasanya kita akan mula minta (penjelasan program) menjelang Jun hingga Julai sebelum kita muktamadkan pada November semasa membentangkan belanjawan,” kata Amirudin.

Beliau berkata sambutan yang menggalakkan terhadap Hijrah Selangor membuktikan kemampanannya sebagai unit pinjaman dan sokongan yang mampu menjana pendapatan kepada masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here