KUCHING, 1 April — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.

Muhyiddin tiba pada jam 3.09 petang dengan diiringi oleh Ketua  Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Perdana Menteri kemudian menandatangani buku kehadiran tetamu sebelum dibawa ke ruang kunjungan  untuk kunjungan hormat terhadap Abdul Taib.

Abdul Taib dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib menerima kunjungan rombongan Perdana Menteri buat julung kalinya selepas terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Jun tahun lepas.

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan yang berlangsung selama sejam sebelum Muhyiddin beredar ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching bagi menghadiri Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Perdana Menteri, yang merupakan Pengerusi PN, dalam rangka kerja dua hari ke Sarawak, mempunyai program yang padat di mana pada sebelah malam nanti beliau dijangka mengadakan perjumpaan bersama Abang Johari serta barisan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Keesokan pagi, Muhyiddin dijadualkan menghadiri Program Prihatin dan Penjana di Medan Niaga Satok, Ziarah Prihtain di Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan dan perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here