KUALA LUMPUR, 1 April — Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan kempen ‘Bersama Mencegah Covid-19′ bagi menyokong Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk menyebarkan kesedaran mengenai vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Pos Malaysia dalam kenyataan berkata kerjasama dengan CITF yang menyokong program imunisasi #LindungiDiriLindungiSemua diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam kenyataan itu dipetik sebagai berkata kerjasama tersebut bertujuan menyokong usaha kerajaan mendekati orang ramai untuk menyemai kesedaran dan mendidik mereka untuk mendaftar imunisasi melalui aplikasi MySejahtera dan saluran luar talian yang ada.

“Kami gembira kerana Pos Malaysia turut menyertai inisiatif ini bersama kami di samping organisasi dan agensi lain. Kami berharap untuk memanfaatkan akses Pos Malaysia ke luar bandar, kedudukan dan rangkaian pengedarannya yang meluas, kami dapat menyampaikan mesej kami dan menggalakkan kadar pendaftaran lebih tinggi,” kata Khairy.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Bhd, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata mereka yakin dapat mencapai objektif itu dengan menjangkau pelbagai komuniti di seluruh negara termasuk 7.3 juta orang yang menetap di luar bandar.

Beliau berkata Pos Malaysia akan menyokong CITF dengan menyebarkan maklumat vaksin melalui media sosial, mengedarkan risalah melalui petugas Pos Rider dan mempamerkan poster bermaklumat di semua pejabat pos dan cawangan di seluruh negara.

Syed Md Najib juga berkata sempena kempen itu, Pos Malaysia juga akan melancarkan siri setem petugas barisan hadapan COVID-19 yang eksklusif sebagai penghargaan kepada komitmen dan pengorbanan mereka.

Jualan daripada koleksi itu akan disalurkan untuk membeli jarum vaksinasi yang akan terus menyokong program imunisasi kebangsaan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here