KUALA LUMPUR, 5 April — Perbadanan Muzik Malaysia akan ditubuhkan bagi memperkukuhkan lagi industri muzik negara selain membantu industri itu ke peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementerian kini dalam proses menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi penubuhan perbadanan itu yang bertujuan merakyatkan, membela, memperkukuh dan memelihara industri muzik negara.

 “Antara objektif penubuhan adalah memacu industri muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa dan memelihara hak cipta muzik dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan industri. Saya kira sekarang sudah sampai masanya untuk menubuhkan perkara (perbadanan) ini dan kita harus mendapatkan punca kuasa, iaitu daripada kabinet.

“Kertas kerja akan dibentangkan dalam masa terdekat untuk penubuhan perbadanan ini. Secara khusus, ia akan mentadbir hal ehwal perkembangan muzik tanah air,” katanya dalam sidang media pengumuman penerima Dana Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (CENDANA) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di sini hari ini.

Saifuddin berkata antara agenda jangka sederhana dan jangka masa panjang menerusi penubuhan perbadanan itu adalah menyediakan tabung kecemasan penyanyi dan pemuzik dan dana pembangunan kandungan digital khas.

Beliau berkata tiga sesi libat urus industri telah dianjurkan bersama-sama pihak berkepentingan dan pemain serta penggiat seni negara bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai penubuhan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here