KUALA LUMPUR, 6 April  — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan wang tunai RM3.5 juta di kediaman ketua kartel projek kerajaan bergelar Datuk yang ditahan semalam.

Selain itu, kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta berserta hartanah termasuk banglo, rumah kedai, pejabat bernilai RM29 juta turut disita dalam serbuan berkenaan.

Sumber SPRM berkata sebanyak 644 akaun individu dan syarikat dianggarkan bernilai RM100 juta turut dibekukan dalam siasatan kes kartel projek kerajaan itu.

“Kartel projek yang diketuai seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun ini memiliki nilai hartanah dan wang tunai yang luar biasa jumlahnya selain memiliki beberapa kereta mewah, sebuah kapal mewah dan dua buah helikopter

Individu tersebut telah membolot projek-projek kerajaan menerusi tender sebut harga bernilai lebih RM3.8 billion yang dipercayai beroperasi sejak 2014 hingga 2021,” kata sumber itu.

Menurut sumber SPRM, modus operandi kartel projek ini ialah membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama mereka sebagai pengarah syarikat akan dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000.

Bagaimanapun, syarikat itu adalah milik Datuk terbabit dan dipercayai seramai 114 orang telah digunakan nama mereka untuk membuka lebih 150 syarikat.

Sumber itu memaklumkan kesemua syarikat ini akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan.

Katanya, maklumat tender dan sebut harga termasuk spesifikasi projek dan harga siling projek akan disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi terbabit.

“Hasil siasatan SPRM mendapati hampir kesemua syarikat tersebut menggunakan maklumat palsu daripada segi kelayakan akademi, sijil profesional mahupun penyata kewangan untuk meyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat-syarikat untuk melaksanakan projek,” katanya.

Semalam, SPRM menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan berusia 38 tahun di Ampang kerana disyaki turut terbabit dalam kartel projek ini.

Sebelum itu SPRM berjaya melumpuhkan kartel tender projek kerajaan dengan penahanan tujuh individu termasuk ketuanya dalam operasi yang dijalankan, semalam.

Kesemua mereka dilaporkan memonopoli sejumlah 354 tender beberapa kementerian serta agensi kerajaan di seluruh negara melibatkan projek berjumlah RM3.8 bilion sejak 2014 hingga kini dan modus operandi kartel berkenaan dipercayai menggunakan lebih 150 syarikat bagi memasuki tender atau sebut harga di kementerian serta agensi terlibat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here