KUALA LUMPUR, 6 April — Permintaan Amerika Syarikat (AS) terhadap minyak sawit dunia diunjurkan berterusan, didorong pengagihan vaksin yang semakin meluas setiap hari dan penarikan balik perintah sekatan, kata Pengarah Jualan Global Agri-Trade Corporation, Benjamin J. Perez.

Beliau yakin AS sedang berada di landasan untuk mencapai persekitaran pasaran yang lebih makmur sekali gus membuka lebih banyak peluang bagi minyak sawit mampan memasuki pasaran negara itu.

“Pandemik COVID-19 benar-benar telah mengubah pasaran di AS dengan aliran-aliran pasaran terkini lebih menumpukan kemampanan susulan peningkatan dakwaan oleh organisasi bukan kerajaan dan kumpulan propengguna,” katanya pada Seminar Internet Minyak Sawit (POINTERS) 2021 secara maya pada Selasa.

Beliau berkata pandemik itu telah menyebabkan ketidakseimbangan perdagangan selain mendorong kenaikan ketara indeks harga komoditi serta memberi tekanan terhadap permintaan penghantaran global.

“Jadi, keadaan itu juga memberi banyak tekanan ke atas pasaran minyak sawit di AS,” katanya.

Perez berkata bagaimanapun, trend makanan dan minuman semula jadi yang baru muncul telah memanfaatkan faedah dan kestabilan semula jadi minyak sawit, dengan ia lebih banyak digunakan bagi produk pengganti daging dan daging buatan.

“Minyak sawit mencatatkan kadar kemasukan yang agak rendah ke AS namun telah meningkat apabila pengawalseliaan menjadi pendorong utama awal bagi permintaan terhadap produk minyak sawit sejak 90an,” katanya.

Pada 2020, pengambilan minyak dan lelemak AS adalah 24 juta tan, dengan minyak kacang soya mendahului sebanyak 43 peratus daripada jumlah pengambilan keseluruhan manakala minyak sawit mencatatkan enam peratus.

Beliau berkata import minyak ke AS berjumlah lebih 5.2 juta tan, dengan 33 peratus daripada import keseluruhan itu ialah minyak sawit, dan 36.7 peratus daripadanya adalah dari Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here