PUTRAJAYA, 3 Mei  — Dakwaan hantaran Facebook kononnya pesawat Malaysia Airlines MH191 membawa penumpang dari India adalah tidak berasas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Wee berkata beliau mengambil maklum hantaran Facebook berkenaan dan semakan yang dibuatnya mendapati tiada penerbangan seperti yang didakwa dan pesawat MH191 merupakan penerbangan kargo.

Akaun Facebook ‘Muhammad Fahmi Abdullah’ memuat naik hantaran mendakwa diarahkan majikan untuk mengambil seorang warga India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bernama ‘Ajit Prasad’ yang menaiki pesawat MH191.

“Apa yang jelas, tiada individu bernama Ajit Prasat dalam penerbangan MH191 sebagaimana yang didakwa. Hentikanlah penyebaran khabar angin atau berita palsu sedemikian,” kata Wee dalam hantaran di Facebook beliau bagi menjelaskan isu berkenaan.

Wee berkata kenyataan dalam hantaran Facebook itu juga meragukan kerana tidak ada mana-mana majikan swasta yang boleh mengambil sesiapa sahaja untuk dihantar ke pusat kuarantin sebaliknya segala urusan tersebut di bawah kendalian Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Beliau berkata kenyataan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan keresahan, panik dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia secara umumnya.

Wee turut menyertakan kenyataan media Malaysia Airlines Bhd yang menyatakan penerbangan antara 1 hingga 3 Mei tidak membawa sebarang penumpang, tetapi hanya anak kapal yang kekal berada dalam pesawat ketika transit. 

Sehubungan itu, Wee berkata  dua laporan polis telah dibuat bagi memastikan orang ramai tidak terkeliru dengan dakwaan tidak berasas yang cuba menimbulkan keresahan awam.

Wee dalam kenyataan hari ini memaklumkan hanya penerbangan kargo dari dan ke India yang dibenarkan memasuki Malaysia sejak 28 April lepas.

Beliau berkata berkuat kuasa tarikh itu, penerbangan pesawat penumpang Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari dan ke India tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here