KUALA LUMPUR, 3 Jun — Sebanyak 586,308 syarikat dengan sejumlah 10.2 juta tenaga kerja mendaftar di bawah COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang ditadbir oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) setakat 7.30 pagi ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata daripada jumlah tersebut, hanya 21.86 peratus atau 128,150 syarikat melibatkan 1.57 juta pekerja memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan pematuhan ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu.

“Kelulusan ini bukan hanya meliputi sektor pembuatan sahaja kerana ia turut melibatkan pelbagai sektor lain daripada 15 kementerian,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Kerajaan menyenaraikan 17 senarai perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi semasa PKP 3.0  dengan kapasiti tenaga kerja dihadkan kepada 60 peratus.

Sektor yang dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) meliputi sektor pembuatan; pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi; pembinaan; dan perdagangan pengedaran. 

Mohamed Azmin turut menjelaskan sektor kimia serta elektrik dan elektronik (E&E) dikategorikan sebagai perkhidmatan penting kerana sektor tersebut berkait rapat dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin.

Sehingga kini, sejumlah 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.

Menurutnya, surat kelulusan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0 bukan hanya dikeluarkan oleh MITI sahaja, sambil memberi contoh Bank Negara Malaysia dan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Pengangkutan mengguna pakai sistem dalaman masing-masing bagi tujuan yang sama.

“MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here